Rayuan buruh rogol wanita hamil ditolak, penjara 9 tahun kekal

Rayuan buruh rogol wanita hamil ditolak, penjara 9 tahun kekal

Hakim Mahkamah Tinggi Hassan Abdul Ghani memerintahkan Mohammad Sukri Jaafar menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengekalkan hukuman penjara 9 tahun dan 3 sebatan ke atas Mohammad Sukri Jaafar, 43, atas kesalahan merogol seorang wanita hamil 7 bulan pada 2019. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan terhadap seorang buruh yang didapati bersalah merogol seorang wanita hamil tujuh bulan di Kemaman lima tahun lepas.

Hakim Hassan Abdul Ghani menolak rayuan Mohammad Sukri Jaafar, 43, dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mohammad Sukri diwakili oleh peguam Muhammad Nadzir Abdullah manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad bertindak bagi pihak pendakwaan.

Pada 16 Jan lepas, Mahkamah Sesyen Kemaman menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohammad Sukri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut tuduhan, Mohammad Sukri didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 20 tahun di kawasan pembuangan sampah di Kampung Mak Chili, Chukai, Kemaman pada 25 Okt 2019.

Kejadian dilaporkan berlaku apabila mangsa yang sedang menunggu bas di perhentian bas kampung itu untuk ke rumah kakaknya di Chukai dipelawa oleh tertuduh, yang tidak dikenalinya, untuk menaiki keretanya, sebelum merogolnya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.