Benar peguam iring tahanan Sosma buat laporan polis, jabatan penjara diberitahu

Benar peguam iring tahanan Sosma buat laporan polis, jabatan penjara diberitahu

Peguam tahanan itu mendakwa anak guam mereka terpaksa membuat laporan polis mengenai kejadian pukul dengan kehadiran warden penjara yang memukul mereka.

hunger strike penjara sungai buloh
Pada awal bulan ini, beberapa tahanan Sosma melancarkan mogok lapar bagi membantah tahanan mereka dan beberapa ahli keluarga tahanan juga membuat protes di luar penjara.
PETALING JAYA:
Dua peguam yang mewakili tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) menggesa Jabatan Penjara membenarkan anak guam mereka membuat laporan di balai polis berhubung dakwaan didera ketika dalam tahanan.

Mereka juga mahu hadir bersama anak guam mereka ketika laporan dibuat.

Khamis lalu, beberapa tahanan memberitahu pendaftar Mahkamah Tinggi Klang bahawa mereka dipukul pegawai penjara tertentu dan mengalami kecederaan badan.

Mahkamah mengarahkan mereka diberikan rawatan perubatan yang sewajarnya serta menasihatkan mereka membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan rasmi dijalankan.

Rajesh Nagarajan
Rajesh Nagarajan.

Peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili dua tahanan, mendakwa selepas prosiding mahkamah, mereka dipaksa merekodkan kenyataan dalam penjara di bawah pemantauan pegawai penjara.

“Mereka membuat laporan polis, tetapi ketika berbuat demikian, mereka dikelilingi warden dan tidak bebas untuk bercakap secara terbuka.

“Jadi, anak guam saya tidak berpuas hati. Mereka mahu peguam hadir supaya boleh membuat laporan polis yang betul tanpa gangguan,” katanya kepada FMT.

Rajesh mahu Jabatan Penjara membenarkan anak guamnya membuat laporan baharu di balai polis dengan kehadirannya.

Seorang lagi peguam, MV Yoges, yang mewakili enam tahanan, mendakwa anak guamnya tidak dibenarkan oleh polis untuk memasukkan butiran penting dalam laporan, seperti identiti pelaku dan kecederaan dialami.

“Walaupun mahkamah menasihatkan polis supaya membawa tahanan terbabit ke balai untuk membuat laporan, keluarga mereka memaklumkan hanya laporan asas diambil ketika mereka masih ditahan di Penjara Sungai Buloh.

“Semasa laporan dibuat, tahanan diberitahu supaya berkongsi butiran tertentu dengan pegawai penyiasat kemudian, dan bukannya memasukkannya dalam laporan. Laporan itu hanya menyatakan mereka dipukul.

“Hingga hari ini, tiada pegawai penyiasat datang untuk merekodkan kenyataan mereka,” katanya.

MV Yoges
MV Yoges.

Yoges berkata tahanan tidak selesa membuat laporan di hadapan warden yang mereka dakwa melakukan kekerasan.

“Tidak adil untuk meminta mangsa membuat laporan ketika masih dalam tahanan pihak yang dakwa telah mencederakan mereka.

“Kehadiran peguam amat penting kerana ia memberi keyakinan kepada anak guam untuk bercakap tanpa rasa takut.

“Paling utama, laporan tidak sepatutnya dibuat dalam kawasan penjara,” katanya kepada FMT.

Tahanan terbabit sebelum ini melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap penahanan mereka, yang didakwa menyebabkan mereka dipukul pegawai penjara yang mahu menamatkan mogok itu.

Keluarga beberapa tahanan turut mengadakan protes di luar Penjara Sungai Buloh sebagai tanda solidariti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.