
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noraini Ahmad, berkata ia dibuktikan berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 yang menunjukkan 26.9% remaja memenuhi kriteria kemurungan, dengan prevalens lebih tinggi dalam kalangan perempuan iaitu 36.1% berbanding lelaki hanya 17.7%.
“Angka ini menunjukkan wanita berisiko dua kali ganda lebih murung daripada lelaki. Ini antara gambaran cabaran yang dihadapi wanita masa kini,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 peringkat zon selatan di Johor Bahru.
Noraini berkata, program ‘Jiwa Kuat, Wanita Sihat’ sempena sambutan itu diharap dapat memupuk kekuatan jiwa dan kesihatan yang baik kepada golongan wanita supaya mereka terus dapat berdaya saing dan menyumbang bakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) komited melaksanakan pelbagai usaha bagi membantu wanita dalam aspek kesihatan termasuk menguruskan tekanan dan mencapai keseimbangan dalam kehidupan.
“Program sokongan psikososial, kaunseling dan inisiatif kesihatan mental juga diperluas agar semua wanita, tanpa mengira latar belakang mendapat bantuan sewajarnya, selari dengan konsep kerajaan Madani yang sentiasa memastikan hak dan kebajikan wanita sentiasa terbela,” katanya.