Jangan takut guna, AI mampu kurang beban operasi, Johari beritahu pengilang sawit

Jangan takut guna, AI mampu kurang beban operasi, Johari beritahu pengilang sawit

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata penggunaan teknologi terkini beri penjimatan dan kurang kebergantungan pekerja asing.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) tingkat kecekapan dalam proses minyak sawit mentah (CPO).
KUALA LUMPUR:
Pengusaha kilang sawit tidak perlu bimbang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) kerana ia mampu memberi penjimatan, malah mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Ghani, berkata teknologi itu mampu membantu meringankan beban operasi kilang seperti penyelenggaraan.

Katanya, dalam kunjungan ke sebuah kilang sawit di Kuala Kangsar, Perak, November lalu, perusahaan itu berjaya meningkatkan kecekapan dalam proses minyak sawit mentah (CPO) hasil penggunaan AI.

 

“Pada 2024 yang lalu saya datang merasmikan satu kilang sawit. Saya pergi sebab saya tertarik dengan idea nak buat AI punya teknologi masuk dalam kilang kelapa sawit untuk memproses CPO.

“Apa yang kita dapat lihat selepas empat bulan satu kilang yang mempunyai kapasiti hanya 45 metrik tan satu jam, boleh dapat kurangkan kos untuk memproses ‘oil loses’ dan ‘maintenance’ sebanyak RM1.6 juta… estimated (jangkaan) dalam setahun average (purata),” katanya pada sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat.

Johari berkata, penggantian kepada pekerja asing dapat dikurangkan dengan pekerja tempatan bagi memantau AI.

“AI ini boleh menukar profil industri daripada kebergantungan pekerja asing kepada pekerja tempatan kerana teknologi ini memerlukan kepakaran mereka memantau AI, selain ia lebih mirip kepada pekerjaan mempunyai pendapatan lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, menjawab Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) langkah mengelakkan penutupan kilang sawit sebagaimana berlaku di Jerangau, Terengganu, apabila menggunakan teknologi terlalu tinggi, Johari berkata, penutupan kilang seperti itu berkemungkinan didorong faktor tertentu.

“Pertama sekiranya berlaku perkara itu ia mungkin terjadi akibat pembekalan buah sawit yang tidak mencukupi dan boleh memberi kesan kepada peningkatan kos operasi kilang tersebut.

“Kedua kita nak tengok kemungkinan kilang ini dah terlampau lama dan ia tiada ‘efficiency’ (kecekapan),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.