DBKL nafi ‘rancang’ hapus tulisan Cina pada papan tanda Jalan Petaling

DBKL nafi ‘rancang’ hapus tulisan Cina pada papan tanda Jalan Petaling

DBKL meminta orang ramai tidak terpengaruh dakwaan tidak berasas itu dan merujuknya untuk mendapatkan maklumat sahih.

petaling street
DBKL berkata papan tanda dipasang di kawasan pusat penjaja Jalan Petaling itu mematuhi garis panduan dan dasar ditetapkan.
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan wujud cadangan menghapuskan tulisan Cina pada papan tanda Jalan Petaling.

“Sehingga kini, pihak DBKL tidak mempunyai sebarang perancangan atau cadangan untuk mengubah atau mengeluarkan tulisan Cina daripada papan tanda berkenaan.

“Dakwaan tersebut tidak benar dan ingin memaklumkan papan tanda yang dipasang di kawasan pusat penjaja Jalan Petaling telah mematuhi garis panduan dan dasar ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya setiap keputusan berkaitan papan tanda dibuat merujuk Undang-undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982 yang turut mengambil kira aspek warisan, budaya dan keperluan komuniti setempat, selain perlu melalui proses pertimbangan teliti.

“Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas ini dan merujuk DBKL untuk mendapatkan maklumat sahih.

“DBKL akan terus komited dalam memastikan Kuala Lumpur kekal bandar raya inklusif serta menghormati kepelbagaian budaya dan warisan semua kaum.”

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Presiden MCA, Wee Ka Siong membantah cadangan menggugurkan tulisan Cina pada papan tanda Jalan Petaling selepas Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur Ang Say Tee mendakwa wujud rancangan itu daripada DBKL.

Katanya, tulisan Cina itu tidak patut menjadi isu kerana memadai jika ia mematuhi undang-undang sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.