
Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 (LKAN) menyatakan semua syarikat subsidiari tersebut mengalami kerugian RM76.51 juta pada 2022 dan RM49.76 juta pada 2021.
Syarikat yang mengalami kerugian tersebut termasuk KWASA Europe S.à r.l, yang mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM158.42 juta pada 2023, diikuti Ameen Direct Equity I, L.P (RM25.61 juta), KWASA Europe-I S.à r.l (RM14.40 juta), Naungan Sentosa Sdn Bhd (RM11.88 juta), Kwasa Utama Sdn Bhd (RM8.61 juta), YTR Harta Sdn Bhd (RM2.70 juta), Kwasa Singapore Duo Pte Ltd (RM1.36 juta), PPNK – Harta Sdn Bhd (RM840,000), dan Common Icon Sdn Bhd (RM390,000).
Menurut laporan audit tersebut, tiga syarikat subsidiari KWSP, iaitu KWASA Europe S.à.r.l, KWASA Europe-I S.à r.l, dan Naungan Sentosa Sdn Bhd mengalami kerugian disebabkan oleh struktur modal syarikat subsidiari yang sebahagian besarnya dalam bentuk pinjaman pemegang saham.
“KWSP sebagai pemegang saham tunggal syarikat mendapat pulangan dalam bentuk faedah pendapatan dan digunakan untuk membayar dividen kepada pencarum.
“Manakala, Ameen Direct Equity I, L.P. merupakan dana yang baharu ditubuhkan pada 2021 dengan tumpuan pelaburan jangka panjang dan masih belum menjana pendapatan mencukupi untuk menampung perbelanjaan operasi,” menurut Bernama memetik laporan itu.
Menurut LKAN, KWSP diaudit tanpa teguran namun laporan tersebut mengesyorkan agensi persekutuan tersebut memperkasakan usaha penjanaan hasil untuk meneruskan operasi berdasarkan usaha berterusan dan mengurangkan kebergantungan terhadap geran kerajaan.
Selain itu, laporan tersebut turut mengesyorkan KWSP mengkaji semula hala tuju dan pelan perniagaan syarikat subsidiari yang mengalami kerugian tiga tahun berturut-turut dan tidak memberikan pulangan sewajarnya.
Secara keseluruhan, KWSP memiliki 55 syarikat subsidiari dengan 34 daripadanya merekodkan keuntungan pada 2023.