
JKM dalam satu kenyataan berkata premis terbabit didaftarkan sebagai tadika dan tidak dibenarkan beroperasi sebagai taska serta menerima kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah, lapor Bernama.
“JKM mengeluarkan notis larangan beroperasi kepada pengusaha tadika itu kerana kesalahan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak.
“JKM juga meminta pengusaha tadika itu untuk hadir ke pejabat JKM Selangor bagi mendapatkan maklumat susulan berkaitan kes ini,” katanya yang menambah kes dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, siasatan itu dibuat selepas JKM menerima aduan ibu bapa seorang kanak-kanak autistik yang mendakwa anak mereka didera di premis terbabit.
Semalam Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata ibu mangsa membuat laporan pada 16 Jan lalu selepas menemukan kesan kemerahan di belakang badan serta bawah mata kanan mangsa.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.