
Akademi Profesor Malaysia berkata kajian menggunakan penunjuk kemakmuran tulen (GPI) mendapati GPI per kapita Malaysia sebanyak RM25,626 pada 2023 adalah lebih rendah berbanding KDNK per kapita sebanyak RM44,638 pada tahun itu.
Katanya, jurang antara KDNK dan GPI berkembang lebih luas berdasarkan kajiannya bagi tempoh 1990 hingga 2023.
GPI mengambil kira faktor seperti kemerosotan alam sekitar, kesejahteraan sosial, penggunaan peribadi, kehilangan sumber asli, dan kadar jenayah, antara lain.
Akademi itu percaya GPI indeks yang lebih tuntas untuk mengukur kemajuan negara berbanding KDNK kerana ia mengambil kira pelbagai faktor sosial dan persekitaran.
Sebagai contoh, katanya, pergantungan pada pelaburan langsung asing mungkin memacu pertumbuhan KDNK tetapi bukan GPI, kerana ia mungkin tidak beri manfaat kepada orang tempatan yang berbakat atau menyumbang kepada perkembangan teknologi.
“Kajian ini menggambarkan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia sering kali mendatangkan kesan sosial yang lebih besar berbanding kesan alam sekitar. Selama beberapa tahun, ketidaksamaan pendapatan yang berterusan meredamkan manfaat daripada pengembangan ekonomi, kerana keuntungan tidak diagihkan dengan baik.
“Begitu juga, kemerosotan alam sekitar, termasuk kehabisan sumber dan pencemaran, menghakis GPI negara dengan ketara,” kata Jamal Othman, pengerusi kluster ekonomi, pembangunan wilayah dan kesejahteraan sosial badan pemikir itu.