PRN Sabah: Terus dengan GRS atau beri peluang Warisan kembali?

PRN Sabah: Terus dengan GRS atau beri peluang Warisan kembali?

Jika Warisan kembali memerintah, ia berisiko menghidupkan semula ketidakstabilan politik yang pernah melanda Sabah sebelum 2020.

hajiji shafie

Ketika 1.78 juta pengundi berdaftar layak bakal membuang undi pada PRN Sabah 29 Nov ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berusaha mengukuhkan kedudukan sebagai kerajaan negeri untuk lima tahun lagi, kali ini dengan harapan mandat lebih besar.

GRS sebelum ini memiliki 42 kerusi (39 dipilih, tiga dilantik), iaitu sedikit melepasi majoriti mudah dalam DUN yang kini dibubarkan. Kerajaan itu turut disokong oleh Pakatan Harapan (PH) dengan tujuh kerusi.

Di pihak pembangkang pula, Warisan memegang 14 kerusi dan kemudian disertai Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 11 kerusi selepas BN menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Hajiji Noor tahun lalu — tetapi gagal menjatuhkan kerajaan.

GRS dan PH pula kekal bekerjasama, dan gabungan ini dilihat lebih stabil. GRS boleh menampilkan dirinya sebagai gabungan parti tempatan yang benar-benar mewakili masyarakat Sabah pelbagai kaum, manakala kehadiran PH yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengukuhkan hubungan Sabah dengan kerajaan perpaduan di Putrajaya.

Kedudukan ini memberi kelebihan kepada Sabah, terutama selepas kejayaan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun ini — termasuk kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam mesyuarat tersebut — yang menguatkan kedudukan Anwar di mata dunia.

Sebaliknya, Warisan mungkin lebih menekankan sentimen ‘hak Sabah’, namun ia tidak mempunyai rangkaian antarabangsa yang sama untuk menarik pelaburan luar secara berkesan.

Rakyat Sabah kini dilihat teruja selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kemenangan memihak kepada mereka dalam tuntutan hak bayaran 40% hasil negeri.

Susulan itu, beberapa ahli politik dan individu berprofil tinggi di Sabah secara terbuka mendesak kerajaan persekutuan supaya tidak memfailkan rayuan dan segera memulakan proses pengiraan ‘atau berdepan akibatnya’.

Ia termasuk Ketua PH Sabah Ewon Benedick, yang turut menghantar surat peletakan jawatan daripada Kabinet minggu lalu, kononnya atas sebab ‘prinsip’. Parti beliau, Upko, juga telah bertindak keluar daripada PH. Namun, perkembangan selepas itu menunjukkan tindakan mereka adalah tergesa-gesa dan tidak wajar.

Kenyataan serta reaksi terlalu cepat seperti ini tidak membantu dan boleh menyebabkan sokongan terhadap kerjasama GRS-PH terjejas. Ini bukan sesuatu yang baik untuk kepentingan Sabah.

Pertama sekali, keadaan itu sudah tentu memberi kesan kepada hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri. Walaupun Warisan juga sebahagian daripada kerajaan perpaduan, tidak dapat dinafikan hubungan parti itu dengan Putrajaya jauh lebih longgar berbanding hubungan terus ditawarkan oleh PH melalui perdana menteri sendiri.

Selain itu, kembali kepada Warisan berisiko mencetuskan semula ketidakstabilan politik yang pernah berlaku di Sabah sebelum tahun 2020.

Warisan ditubuhkan tidak lama selepas Presidennya Shafie Apdal, digantung keahlian Umno sebelum keluar parti itu ketika isu 1MDB sedang memuncak pada 2015. Sejak awal penubuhannya, perjalanan politik Warisan sering dikaitkan dengan masalah lompat parti dan suasana politik tidak stabil.

Parti itu dengan cepat menjadi tempat persinggahan buat wakil rakyat yang keluar daripada Umno, PKR serta beberapa parti tempatan lain. Dalam PRU14, Warisan berganding dengan PH dan berjaya memenangi 21 kerusi DUN. Rakannya ketika itu, DAP dan PKR, menambah lagi lapan kerusi.

BN pula memperoleh 29 kerusi manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan Jeffrey Kitingan dengan dua kerusi muncul sebagai penentu pembentukan kerajaan.

Pada 11 Mei 2018, BN dan STAR terlebih dahulu menubuhkan kerajaan dengan Musa Aman kembali sebagai ketua menteri. Tetapi kerajaan itu hanya bertahan dua hari. Enam Adun BN berpaling tadah menyokong Warisan sekali gus mengangkat Shafie ke jawatan terbabit.

Malah Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin mengaku kekalahan BN ketika itu bukan kerana kalah pilihan raya, tetapi kerana tindakan lompat parti.

Ketika mentadbir negeri, Warisan turut berdepan kritikan. Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir pernah menuduh pentadbiran Warisan ‘melumpuhkan’ pentadbiran negeri. Kejatuhan Warisan pada PRN 2020 juga dikaitkan dengan kelemahan pengurusan, selain ironi besar — parti itu tumbang melalui perkara yang juga pernah membantunya: lompat parti.

Namun, pengalaman itu tidak menghentikan Warisan daripada cuba kembali mendapatkan kuasa pada 2023. Parti itu bekerjasama pula dengan BN dalam cubaan menjatuhkan Ketua Menteri Hajiji Noor melalui percaturan politik dikenali sebagai ‘Langkah Kinabalu’.

Cubaan itu gagal apabila enam Adun Umno enggan terlibat, menyebabkan perpecahan besar dalam Umno Sabah dan menggagalkan percaturan itu sepenuhnya.

Kini BN sendiri berada dalam kedudukan politik yang serba tidak kena. Walaupun sering menyatakan GRS sebagai musuh, BN memilih untuk menghadapi pilihan raya kali ini bersama PH dan bukannya Warisan.

Di peringkat pusat, Pengerusinya Zahid Hamidi jelas mahu memastikan BN kekal bersama kerajaan perpaduan pimpinan Anwar. Namun di Sabah, ia terpaksa mengimbangi hubungan dengan Bung, yang masih bermusuhan politik dengan Hajiji.

Berbeza dengan drama politik itu, Hajiji menampilkan gaya kepimpinan yang lebih tenang dan pragmatik.

Di bawah pentadbirannya, hasil negeri meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh empat tahun kepada RM9 bilion, banyak disumbang kerjasama tenaga baharu dengan Petronas. Kerajaan GRS juga memacu perkembangan dalam sektor pertanian, pelancongan dan industri melalui pelan pembangunan Sabah Maju Jaya.

Selain itu, cubaan menggambarkan Hajiji terbabit dalam skandal perlombongan turut gagal memberi kesan, dengan beliau terus mengekalkan kedudukan politik yang kukuh.

Dengan rekod pertumbuhan dan kestabilan pentadbiran yang lebih konsisten, GRS kini dilihat antara pilihan paling selamat untuk lima tahun akan datang.

Melainkan rakyat Sabah mahu kembali ke gelanggang politik yang bergolak seperti dahulu. Palis-palis (minta dijauhkan).

Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.