
Katanya, satu keputusan sedang diteliti selepas kedua-duanya melakukan perbincangan lebih sejam setengah, baru-baru ini.
“Perbincangan yang berlangsung bagus, tetapi hasil perbincangan tersebut kita sedang teliti, bila masa yang sesuai kita akan umumkan bersama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Sukan Olimpik di Hotel Grand Dorsett Subang.
Hannah berkata demikian ketika diminta mengulas hasil pertemuannya dengan bekas juara dunia keirin itu.
Dis tahun lalu, atlet berusia 37 tahun itu dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Hannah sebelum memberi kata putus berhubung masa depannya.
Terdahulu, Azizulhasni terkenal dengan panggilan The Pocket Rocketman mengesahkan dirinya tidak akan mengambil bahagian pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Negeri Sembilan.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan kembali berkayuh, tetapi masih belum menetapkan tempoh masa berbuat demikian.
Sementara itu, Hannah memaklumkan sebanyak lapan sukan terpilih peringkat olimipik akan menerima peruntukan RM20 juta bagi tujuan pembangunan bakat.
“RM20 juta ini kita tidak agihkan sama rata kepada lapan jenis sukan, bukan semua sukan perlu dana sama. Hasrat kita dengan adanya suntikan dana ni terhadap sukan yang ada potensi besar,” katanya.
Lapan sukan yang akan menerima peruntukan itu adalah renang, akuatik terjun, olahraga, skuasy, berbasikal, badminton, taekwondo, dan memanah.