KPM teliti kesesuaian bina bangunan sekolah 17 tingkat

KPM teliti kesesuaian bina bangunan sekolah 17 tingkat

Keselamatan pelajar menjadi keutamaan ambil kira sudah ada sekolah di Kuala Lumpur setinggi 10 tingkat.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek juga syor pembinaan kelas kabin secara IBS bagi menangani isu kepadatan tinggi murid terutama di Selangor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti kesesuaian pembinaan bangunan sekolah setinggi 17 tingkat dengan mengambil kira soal keselamatan pelajar.

Menteri Fadhlina Sidek berkata, pembangunan sekolah bertingkat bukan perkara baru merujuk sebuah sekolah di Wilayah Persekutuan setinggi 10 tingkat.

“Setakat ini sekolah paling tinggi di kawasan Wilayah Persekutuan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sentosa.

“Tidak ada masalah sebenarnya kerana kita memahami isu-isu berkait rapat di peringkat Wilayah Persekutuan dan sekolah bertingkat ini bukan satu perkara baharu dilaksanakan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencadangkan pembinaan sekolah bertingkat melibatkan dua blok setinggi antara 10 ke 17 tingkat, sekitar pusat bandar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan berkata syor itu memandangkan keluasan tanah terhad, sambil didorong peningkatan populasi.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kementerian telah menangani sebahagian sekolah mempunyai isu kepadatan tinggi khususnya di Selangor dengan mensyorkan pembinaan kelas kabin dengan model sistem bina berindustri (IBS).

Katanya, ia langkah menangani masalah jangka pendek berkaitan kepadatan kelas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.