
Dalam kenyataan, Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Zulkarnain Mahdar, berkata beliau mendapat maklumat bahawa polis Sabah akan mendakwanya di mahkamah susulan penganjuran dan pembabitan dalam himpunan tersebut.
“Polis Sabah sepatutnya membawa Fahmi terlebih dulu ke mahkamah kerana menghina Yang di-Pertua Sabah, bukan penganjur Himpunan Bangkit Sabahan.
“Saya berjanji akan melawan kes ini di mahkamah,” katanya.
Himpunan Bangkit Sabahan sebelum ini diadakan di Kota Kinabalu pada 31 Dis, menjadi perhimpunan balas terhadap Gempur Rasuah Sabah, yang berkumpul pada hari sama.
Zulkarnain berkata, Himpunan Bangkit Sabahan dibuat selepas kumpulan mahasiswa kecil Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan perhimpunan “cubaan mendesak ketua menteri Sabah meletak jawatan walaupun tidak terlibat dengan rasuah dan cubaan menghina Tuan Yang Terutama di-Pertua Negeri Sabah”.
“G57 ingin menegaskan bahawa Gerakan Bangkit Sabahan tidak sama sekali tidak gentar dengan tindakan ke mahkamah oleh polis Sabah.
“Sebaliknya, bercadang untuk menganjurkan perhimpunan aman yang lebih besar selepas ini bagi mempertahankan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan dari serangan fitnah,” katanya.
Zulkarnain berkata G57 juga akan menghantar memorandum bantahan kepada perdana menteri termasuk Yang Di-Pertuan Agong untuk campur tangan ke atas keputusan kebelakang membabitkan perhimpunan aman oleh polis Sabah.