
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, berkata mangsa dipercayai ditetak menggunakan parang di sebuah rumah di Manggatal, sebelum mayatnya dipotong dan dibuang di beberapa lokasi.
Menurutnya, lokasi pembuangan mayat itu belum dapat dinyatakan secara spesifik kerana suspek masih dirawat di hospital dan proses soal siasat lanjut belum dapat dijalankan sepenuhnya.
“Polis masih meneruskan pencarian dua lagi anggota tubuh mangsa, termasuk mengesan parang dipercayai digunakan suspek.
“Operasi pencarian dijalankan sepasukan polis, termasuk unit forensik dan unit anjing pengesan IPK Sabah di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti,” katanya menurut Harian Metro.
Semalam, anak mangsa dalam siaran langsung TikTok mendakwa jenazah ibunya sudah dikebumikan, walaupun kaki kiri dan tangan kanan ibunya belum ditemui.
Kelmarin, polis menahan seorang bapa dan anaknya susulan pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya dikerat tujuh dan dibuang di beberapa lokasi di Indah Permai.
Suspek berusia 70-an itu ditahan kira-kira 5 petang Khamis, manakala anaknya berusia 20-an diberkas di sebuah rumah di Sepanggar kira-kira 11 malam Khamis.
Jauteh berkata, keluarga mangsa boleh berhubung atau berjumpa pegawai penyiasat bagi mendapatkan perkembangan terkini kes itu.
“Proses soal siasat lanjut akan dijalankan selepas keadaan suspek mengizinkan dan mendapat kebenaran doktor,” katanya sambil meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu 088-529222 atau Hotline 019-2182728.