
Tan Hong Pin (PH-Bakri) memetik penyerahan memorandum oleh penganjur himpunan antirasuah hari ini yang hanya dibenarkan berada ‘lebih 500m’ dari bangunan Parlimen.
“Kumpulan anak muda ini tak ramai, (malah) kurang daripada polis, tetapi tak dibenarkan berkumpul di pekarangan Parlimen,” katanya ketika membahaskan usul titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
“Ini menyedihkan. Kita anggap Parlimen sebagai institusi tertinggi yang mewakili suara rakyat di negara ini, tetapi sekumpulan anak muda yang namanya rakyat tak dibenarkan masuk hanya kerana mereka ingin kemuka tuntutan.”
Hak mereka menyuarakan tuntutan tidak boleh dinafikan dan wajar diambil perhatian oleh kerajaan, tambahnya.
“Mustahil tiada ruang boleh dikhaskan dalam kawasan Parlimen yang berkeluasan lebih 16 hektar bagi kumpulan berkepentingan ini untuk berkumpul dan serah memorandum … sekiranya berlaku dalam keadaan tertib,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah Zaim Zulkifli menyerahkan memorandum kumpulan itu kepada Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari, dengan kehadiran 15 lagi Ahli Parlimen kerajaan, di luar bangunan Parlimen.
Beliau turut memberi amaran himpunan lebih besar akan diadakan sekiranya tuntutan mereka untuk pembaharuan terus diabaikan oleh kerajaan.
Memorandum itu menggariskan tiga tuntutan utama, iaitu mempercepat pemisahan Jabatan Peguam Negara dan pejabat timbalan pendakwa raya daripada Jabatan Perdana Menteri, menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas sepenuhnya dan memperkenalkan akta pendanaan politik.
Tuntutan sama dikemukakan sekretariat itu dalam satu himpunan awal tahun ini, yang menyaksikan lebih 200 peserta berarak dari kompleks beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka.