
Pegawai SPRM Fikri Ab Rahim berkata, kenaikan pangkatnya kepada Jusa C ditentukan oleh SPRM dan ketua pesuruhjayanya ketika itu, Abu Kassim Mohamed.
“Saya tidak lihat dia (Najib) sebagai faktor kenaikan pangkat saya,” katanya pada perbicaraan 1MDB Najib di Mahkamah Tinggi.
Minggu lepas, Fikri memberitahu mahkamah, beliau dan rakan-rakan sekerjanya, Nasharudin Amir dan Hafaz Nazar, bersama pegawai atasan mereka, Azam Baki serta bekas timbalan pendakwa raya Dzulkifli Ahmad pergi ke Arab Saudi untuk bertemu dengan seorang individu bergelar ‘Putera Saud Abdulaziz Al-Saud’ pada hujung 2015.
Ketika itu, Fikri ialah pegawai Gred 54, setelah 10 tahun bertugas dalam perkhidmatan awam.
Pasukan itu berada di sana untuk menyiasat empat ‘surat derma’ yang dikatakan ditandatangani dan dihantar oleh Saud kepada Najib, bertarikh antara 1 Feb 2011 dan 1 Jun 2014.
Bagaimanapun, Hafaz hanya merakam kenyataan peguam Saud, Mohamad Abdullah Al Koman.
Hari ini, Fikri berkata, beliau dan Azam tidak mengarahkan Hafaz atau Nasharudin meminta dokumen sokongan daripada Abdullah dan Saud, atau Tan Kim Loong, yang turut hadir pada masa itu.
Beliau menafikan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bahawa Fikri pergi ke Arab Saudi semata-mata untuk mendapatkan kenyataan yang ‘didraf awal’, tanpa bertanya sebarang soalan kepada Tan dan Abdullah.
Fikri menegaskan bahawa Hafaz cekap, mampu siap merakam kenyataan mereka dalam tempoh 25 minit.
SPRM mula menyiasat kes ‘derma’ RM2.6 bilion itu pada 2015.
Fikri juga memberitahu mahkamah, siasatan kes itu bermula pada Ogos 2015, selepas SPRM menerima aduan mendakwa dana 1MDB digunakan untuk membeli undi pada PRU13, yang diadakan dua tahun sebelum itu.
Menurut aduan, Najib menerima USD681 juta (RM3.28 bilion) pada 2013 daripada Tanore Finance Corporation, yang digunakan untuk merasuah pengundi semasa pilihan raya.
Fikri berkata, beliau tahu bahawa SPRM merakam kenyataan Najib pada tahun itu juga.
“Beliau dinamakan dalam laporan itu,” katanya menambah, SPRM merakam kenyataan Najib sebagai saksi.
Perbicaraan bersambung pada 20 Feb di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Najib didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dana dikatakan milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dipindahkan dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.