3 syarikat baharu periksa kenderaan bukan syarikat ‘RM2’, kata Loke

3 syarikat baharu periksa kenderaan bukan syarikat ‘RM2’, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata syarikat yang diberikan kelulusan bersyarat melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor itu mempunyai modal berbayar RM20 juta.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata tiga syarikat itu memenuhi proses teliti dan segala kriteria termasuk menyediakan pemeriksa kenderaan bertauliah.
KUALA LUMPUR:
Tiga syarikat termasuk satu daripadanya berusia lapan bulan yang diberikan kelulusan bersyarat melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bukan syarikat ‘RM2’, sebaliknya memiliki modal berbayar mencukupi, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata syarikat itu merupakan syarikat bertujuan khas (SPV) yang ditubuhkan untuk memasuki permohonan PPKM.

“Syarikat yang dikatakan lapan bulan ini ada RM20 juta modal berbayar dan ada perniagaan lain, bukannya syarikat RM2. Mereka ada modal yang cukup dan untuk makluman syarikat ini milik penuh Bumiputera, ketiga-tiga pengarahnya Bumiputera,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai relevansi pengalaman dalam industri pemeriksaan kenderaan motor tidak dijadikan sebagai kriteria utama dalam pemilihan syarikat yang bakal bersaing dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Mengulas lanjut, Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menetapkan kriteria untuk memastikan syarikat baharu akan melabur untuk membina kepakaran dan keupayaan dalam industri pemeriksaan kenderaan.

Beliau berkata keupayaan kewangan adalah faktor utama bagi memastikan syarikat dapat memenuhi semua piawaian ditetapkan termasuk penyediaan peralatan pemeriksaan, tenaga kerja dan kebolehlaksanaan operasi.

“Bagi mengelakkan berlakunya konflik kepentingan, pemohon juga dibenarkan untuk mewujudkan syarikat baharu atau menggunakan syarikat tidak berkaitan perniagaan kenderaan bagi tujuan permohonan lesen PPKM.

“Ini bertujuan mewujudkan pemisahan perniagaan dan mengelakkan situasi syarikat yang mempunyai perniagaan kenderaan meluluskan kenderaan melalui PPKM sendiri,” katanya.

Loke berkata ketiga-tiga syarikat yang dilantik bagi melaksanakan PPKM itu telah memenuhi segala proses teliti yang dibuat secara terbuka dan memenuhi segala kriteria termasuk menyediakan pemeriksa kenderaan bertauliah.

“Kalau saya hendak sorok tak payah saya umum nama syarikat ini, yang pentingnya ialah kita nak buka pasaran ini supaya pasaran pemeriksaan lebih kompeten, berdaya saing dan banyak pilihan kepada pengguna,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.