
Beliau berkata peningkatan permintaan perjalanan udara di rantau ini meletakkan Malaysia pada kedudukan baik untuk menjadi pusat penerbangan utama, namun aspirasi itu perlu disokong oleh modal insan berkualiti dan sistem latihan mantap.
“Lokasi strategik Malaysia dan pertumbuhan industri penerbangan memberi kelebihan besar kepada negara.
“Namun, cita-cita ini hanya boleh dicapai jika kita mempunyai keupayaan latihan bertaraf dunia,” katanya berucap melancarkan Bangunan Simulator MAB Academy di Zon Sokongan Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Turut hadir, Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group (MAG) Izham Ismail.
Mengulas lanjut, Loke berkata pembukaan kemudahan baharu itu disifatkan langkah penting dalam usaha memperkukuh ekosistem latihan penerbangan negara.
Menurutnya, institusi latihan yang kukuh amat diperlukan bagi memastikan pertumbuhan industri penerbangan disokong oleh tenaga kerja profesional yang berkemahiran tinggi, mengutamakan keselamatan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Beliau berkata pengembangan sektor penerbangan akan terus meningkatkan permintaan terhadap juruterbang, kru kabin, jurutera, kakitangan keselamatan serta pakar penerbangan lain.
“Kemudahan ini pelaburan tepat pada masanya dan penting untuk masa depan industri penerbangan Malaysia. Ia mencerminkan komitmen bersama terhadap keselamatan, pembangunan kemahiran dan daya tahan industri dalam jangka panjang,” katanya.
Loke turut menegaskan Kementerian Pengangkutan sentiasa menekankan kepentingan memperluas serta mempertingkatkan program latihan penerbangan kerana kecemerlangan latihan menjadi asas kepada keselamatan, kualiti operasi dan daya saing global.
Beliau berkata pelaburan dalam latihan dan kemahiran bukan sahaja memenuhi keperluan industri, malah membantu membentuk masyarakat yang menghargai sains, pemikiran kritikal dan pembuatan keputusan berasaskan bukti, selari dengan keperluan keselamatan penerbangan dan pembangunan negara.