
Beliau berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Jemaah Menteri dan kementerian berkaitan telah diberi taklimat mengenai potensi risiko terhadap ekonomi, termasuk sebarang kenaikan tarif, cukai baharu mahupun sekatan eksport.
“Bagi (Malaysia), ia tentang meringankan (kesan tarif). Kita mahu beri tumpuan pertingkat perdagangan intra-Asean, yang masih agak rendah pada masa ini.
“Ini sebab kita hendak naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (Atiga) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (Defa).
“Kita juga mahu pelbagaikan pasaran eksport, kita sedang lihat (peluang di) Amerika Selatan dan Afrika. Kita juga cuba runding semula perjanjian perdagangan bebas dengan Kesatuan Eropah dan Majlis Kerjasama Teluk,” katanya ketika perbincangan panel pada Persidangan China: Asia Tenggara 2025 hari ini.
Atiga ialah perjanjian perdagangan serantau yang bertujuan mencapai aliran bebas barangan dalam kalangan negara anggota Asean, yang akan mengurangkan halangan perdagangan, mempertingkat hubungan ekonomi dan menggalakkan pasaran lebih bersepadu di rantau ini.
Sementara itu, Defa menyasarkan untuk mengubah rantau ini menjadi ekonomi digital yang terkemuka dengan memupuk kerjasama digital yang lebih besar, meningkatkan pertumbuhan perdagangan dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat, dengan matlamat mencapai USD2 trilion (RM8.8 trilion) dalam ekonomi digital menjelang 2030 melalui rundingan komprehensif antara negara anggota.
Tengku Zafrul juga berkata, Malaysia dan Asean mesti kekal positif dalam menghadapi risiko tarif AS.
Tambahnya, kementeriannya fokus pada libat urus dengan pihak berkuasa dan pemimpin serantau mengenai perkara itu.
“Asean mempunyai kekuatannya tersendiri. Kita juga kumpulan ekonomi yang besar. Tak boleh letak setiap negara atau blok dalam kedudukan yang sama; tak boleh perang dengan semua orang.”
Zafrul berkata, tarif yang dikenakan AS akan menjadi antara topik utama dibincangkan pada pemukiman menteri ekonomi Asean ke-31 di Johor minggu depan.
Awal hari ini, Tengku Zafrul berkata, industri keluli dan aluminium Malaysia tidak akan terjejas teruk oleh 25% tarif perdagangan AS yang dikenakan ke atas sektor itu.