
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad, berkata jika ada keperluan menambah aset dan anggota keselamatan mengawal sempadan berdasarkan hasil kajian itu, ia perlu diutamakan.
“Berdasarkan laporan pihak polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta beberapa kajian akademik, faktor berdekatan sempadan adalah punca utama peningkatan penyalahgunaan dadah di Kelantan,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, Kelantan dalam senarai teratas kadar penyalahgunaan dadah, diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah berdasarkan nisbah per 100,000 penduduk.
Menurutnya, beberapa langkah penguatkuasaan bagi mengekang penyeludupan dadah telah dijalankan, termasuk pengukuhan kawalan sempadan seperti di Sungai Golok, Kelantan.
Zamakhshari meminta Putrajaya mempertimbangkan pemasangan CCTV biometrik di sepanjang sempadan dan menambah jumlah dron bagi memudahkan pengesanan identiti serta pergerakan pengedar dadah.
Beliau turut mencadangkan kerajaan pusat memasang mesin pengimbas di pintu masuk Thailand-Malaysia, selain mempergiatkan kempen kesedaran di sekolah dan kampung.
Katanya, kerajaan negeri akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam masa terdekat bagi merangka pelan bersepadu untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah di Kelantan.
Buat masa ini, beliau berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan AADK, polis, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Jabatan Pendidikan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) serta pihak berkepentingan lain dalam isu itu.