Asyraf Wajdi terus jadi pengerusi Mara 2 tahun lagi

Asyraf Wajdi terus jadi pengerusi Mara 2 tahun lagi

Tempoh lantikan setiausaha agung Umno itu sebagai pengerusi Mara dilanjut dua tahun lagi, berkuat kuasa 1 Mac.

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai pengerusi Mara pada Mac 2023, menggantikan Azizah Mohd Dun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tempoh lantikan Asyraf Wajdi Dusuki sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) disambung dua tahun lagi, berkuat kuasa 1 Mac.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, beliau memaklumkan menerima watikah lantikan daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Zahid Hamidi pagi ini.

Katanya, Zahid turut mengingatkan bahawa Mara merupakan institusi penting bagi orang Melayu dan Bumiputera yang perlu diperkasakan untuk terus memartabatkan agenda pendidikan serta ekonomi golongan itu.

“InsyaAllah, tanggungjawab yang digalas ini akan saya laksanakan sebaik mungkin dengan penuh jujur dan amanah kerana ia bukan suatu bentuk kemasyhuran (tasyrif) tetapi beban tanggungjawab besar (taklif) yang akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak.

“Mohon rakan-rakan doakan saya agar dipermudah untuk melaksanakan amanah bangsa dan agama ini,” katanya.

Asyraf Wajdi yang juga setiausaha agung Umno dilantik sebagai pengerusi Mara pada Mac 2023, menggantikan Azizah Mohd Dun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.