Pasport pelancong UK dikembali pada 13 Feb, kata ketua polis P Pinang

Pasport pelancong UK dikembali pada 13 Feb, kata ketua polis P Pinang

Hamzah Ahmad berkata mahkamah kembalikan dokumen itu kepada Ahmed Hadi selepas keputusan lepas tanpa bebas atas dakwaan khianat.

Hamzah Ahmad
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad, berkata pasport Ahmed Hadi di bawah kawalan mahkamah dan bukan diuruskan pihaknya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis Pulau Pinang berkata pasport seorang pelancong British telah dipulangkan pada 13 Feb, yang didakwa terkandas di Malaysia dua bulan ekoran dokumen itu dirampas kerana bayaran parkir RM7.

Ketua Polis Hamzah Ahmad dalam kenyataan berkata, Ahmed Hadi, 47, dituduh di Mahkamah Majistret George Town pada 12 Dis mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Hadi diberikan ikat jamin RM12,000 dengan tiga penjamin rakyat tempatan, dan pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah.

Hamzah berkata, pasport Hadi dikembalikan selepas majistret membuat keputusan melepas tanpa membebaskan tertuduh.

Juruelektrik berusia 47 tahun dari London, tiba di Malaysia bersama isteri dan dua anak perempuan pada 4 Dis, namun ditahan pada 9 Dis selepas pengendali tapak parkir di Batu Ferringhi membuat laporan terhadapnya kerana merosakkan palang masuk.

Katanya, insiden berlaku apabila mesin bayaran gagal mengesahkan penerimaan satu daripada kad kredit, ketika dia dan ahli keluarga cuba meninggalkan tempat parkir itu di Batu Ferringhi.

Susulan kegagalan penerimaan bayaran RM7, dia menekan butang bantuan. Dia mendakwa walaupun berbual 10 minit dengan penjaga tempat parkir, tiada penyelesaian dicapai.

Hadi berkata, dia kemudian secara lembut mengangkat palang plastik berkenaan, namun ia rosak.

Dua hari selepas itu, dia dipanggil ke balai polis dan disiasat dua jam mengenai ‘palang dipatahkan’, disusuli penahanannya.

Hadi berkata, dia dihadapkan di mahkamah sehari kemudian, namun kes tidak selesai memandangkan polis diberi lebih masa untuk menyiasat kesalahan didakwa.

Hamzah berkata, kes ditangguh pada 22 Jan bagi sebutan kes dan penghantaran dokumen, dengan pendengaran seterusnya pada 13 Feb.

Katanya, pengadu kemudian menarik laporan terhadap Hadi selepas membayar pampasan RM1,000.

Hadi diperintah hadir di mahkamah sekali lagi esok atas alasan yang dia sendiri tidak jelas.

Hamzah berkata, pasport Hadi di bawah kawalan mahkamah dan tidak diuruskan polis.

“Ketika penahanan, suspek diletakkan di lokap berpusat Bayan Baru.

“Tiada pelanggaran prosedur operasi standard dan semua tahanan dipantau rapi oleh pegawai lokap bertugas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.