
Dalam kenyataan bersama, mereka berkata semakan rekod dengan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan Perkeso mendedahkan walaupun potongan berkanun dibuat daripada gaji, Petra News yang menerbitkan portal berita itu, gagal membayar caruman pekerja dan majikan kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Pekerja mempunyai bukti dokumen pemotongan berkenaan dalam slip gaji bulanan mereka.
“Walaupun membuat pemotongan, pihak syarikat gagal memenuhi kewajipan undang-undang untuk mengemukakan bayaran yang perlu dibayar, sekali gus menahan caruman berkanun pekerja secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan.
Mereka berkata, laporan telah dibuat di Balai Polis Jalan Travers di Brickfields, Kuala Lumpur semalam, selepas menemui percanggahan tersebut.
Pekerja berkenaan berkata, selain caruman berkanun tidak dibayar, mereka juga berdepan kelewatan pembayaran gaji sejak 2024.
“Kakitangan terjejas telah membuat aduan berasingan kepada Jabatan Buruh di bawah Kementerian Sumber Manusia, yang mana perkara itu sedang disiasat,” katanya.
Dalam pada itu, kakitangan tersebut juga menyuarakan penghargaan kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil kerana bantuan berterusan ketika gaji mereka tidak dibayar.
Mereka juga mendawa Petra News gagal menghadiri beberapa pendengaran yang dijadualkan, enggan menandatangani memorandum persefahaman mengenai perkara itu, dan melanggar perjanjian terdahulu yang dibuat dengan beberapa pengadu.
“Meskipun terdapat pelanggaran serius, tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap Petra News atau pemiliknya.
“Sehingga hari ini, ramai pekerja terus bergelut dengan beban kewangan disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab pemilik.
“Kegagalan ini mengakibatkan tekanan kewangan kepada pekerja, termasuk penolakan permohonan pinjaman kesan caruman KWSP tidak dikreditkan. Pekerja juga bimbang berdepan penalti oleh LHDN apabila memfailkan penyata cukai pendapatan,” kata mereka.