Kerajaan, Razak Baginda dapat penangguhan bersyarat bayar RM5 juta kepada keluarga Altantuya

Kerajaan, Razak Baginda dapat penangguhan bersyarat bayar RM5 juta kepada keluarga Altantuya

Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan dan penganalisis politik mendepositkan RM4.7 juta kepada peguamcara keluarga sementara menunggu rayuan mereka diselesaikan.

Altantuya Shaariibuu
Kerajaan merayu terhadap penghakiman RM5 juta sebagai ganti rugi yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi yang memihak kepada keluarga Altantuya Shaariibuu atas kematiannya 19 tahun lalu. (Gambar fail)
SHAH ALAM:
Kerajaan dan penganalisis politik Abdul Razak Baginda memperoleh penangguhan bersyarat penghakiman RM5 juta yang diberikan kepada keluarga Altantuya Shaariibuu atas kematiannya pada 2006 sementara menunggu penyelesaian rayuan mereka.

Peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Sumathi Murugiah membenarkan permohonan penangguhan yang difailkan oleh kerajaan dan Razak tertakluk kepada pembayaran oleh kerajaan dan Razak masing-masing sebanyak RM4.70 juta.

Bayaran itu perlu dibuat ke akaun peguam keluarga itu, Karpal Singh & Co.

Jumlah keseluruhan RM9.4 juta itu termasuk faedah terakru ke atas RM5 juta ganti rugi yang diperintahkan pada 2022.

Firma guaman itu akan memegang jumlah wang berkenaan sementara menunggu pelupusan rayuan yang dikemukakan kerajaan dan Razak ke Mahkamah Rayuan.

Mahkamah juga memerintahkan Razak membayar kos RM25,000 yang diberikan di bawah penghakiman yang memihak kepada keluarga itu dalam tempoh 30 hari.

Rayuan itu dijadualkan didengar pada 19 Mei.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan, Razak dan bekas anggota polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri membayar ganti rugi RM5 juta atas kematian Altantuya.

Mahkamah berkata Sirul dan Azilah ‘sengaja menembak’ dan ‘mengikat bahan letupan’ ke atas Altantuya dan harus bertanggungjawab atas tindakan mereka.

Ia berpendapat bahawa Razak adalah penghubung antara dua bekas anggota polis itu dan Altantuya.

Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, isterinya, Altantsetseg Sanjaa dan anak lelaki Altantuya, Mungunshagai, memfailkan saman itu, mendakwa terdapat konspirasi menyelubungi pembunuhannya.

Altantuya ditembak di kepala pada 2006 di sebuah hutan di Puncak Alam. Mayatnya kemudian diletupkan dengan bahan letupan.

Azilah dan Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhannya. Bagaimanapun tahun lepas Mahkamah Persekutuan meringankan hukuman mati Azilah dan menjatuhkan hukuman 40 tahun ke atasnya. Mahkamah tertinggi juga memerintahkan beliau menerima 12 sebatan rotan.

Sirul kini menetap di Australia selepas dibebaskan pada 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.