
Hassan berkata, kegagalan menambah baik kedudukan dan skor CPI Malaysia, dalam laporan tahunan Transparency International (TI), adalah ‘mendukacitakan’, memandangkan usaha memerangi rasuah adalah antara agenda utama kerajaan perpaduan, selain pembasmian kemiskinan.
“Rasuah masih berleluasa. Ambil contoh Jabatan Kastam yang bertugas di KLIA, banyak kes tangkapan telah dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Ahli Parlimen PKR itu kepada FMT.
Beliau turut merujuk kes rasuah melibatkan pegawai di Jabatan Imigresen khususnya berkaitan pemerdagangan orang, dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Begitu juga imej buruk polis … dalam soal rasuah, bukan satu rahsia lagi.”
Tahun lepas, sejumlah pegawai Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, JPJ dan polis didakwa atas tuduhan rasuah.
Beberapa kes terbesar melibatkan sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan, membabitkan pegawai Kastam dan Imigresen.
Dalam CPI 2024, Malaysia mencatat 50 mata dan menduduki tempat ke-57, sama seperti tahun sebelumnya.
Indeks itu menggunakan skala 0 (dianggap sangat korup) hingga 100 (sangat ‘bersih’) bagi mengukur persepsi rasuah sesebuah negara.
Malaysia memperoleh 50 mata pada 2023; 47 mata pada 2022; 48 mata pada 2021; dan 51 mata pada 2020.
Putrajaya telah menetapkan matlamat menjadi antara 25 negara teratas dalam CPI menjelang 2033.
Transparency International Malaysia (TI-M) mengaitkan kedudukan dan skor yang tidak berubah itu dengan beberapa faktor, termasuk reformasi institusi yang perlahan oleh kerajaan dan kes berprofil tinggi di mana tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
Keputusan DNAA dan semakan hukuman penjara dan denda bagi sabitan oleh mahkamah tertinggi mewujudkan persepsi wujudnya campur tangan politik, kata kumpulan antirasuah itu.
Hassan yang bersetuju berkata, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta Najib Razak dalam kes SRC International yang dikurangkan bukan contoh yang baik apabila bekas perdana menteri itu telah disabitkan kesalahan rasuah.
“Apa mesej yang hendak disampaikan kepada penjawat awam dalam sektor awam dan golongan pengurusan di sektor swasta?”
Ahli Parlimen dua penggal itu turut mengkritik keputusan peguam negara tidak meneruskan pendakwaan dalam kes berprofil tinggi, termasuk 47 tuduhan rasuah dihadapi Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi walaupun kes prima facie berjaya dibuktikan.
Beliau turut menyebut pembebasan Zahid dalam satu lagi kes membabitkan 40 tuduhan yang turut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuannya.
Hassan berkata, keputusan-keputusan sebegini merosakkan persepsi terhadap sistem perundangan dan kehakiman negara.
“Jadi sebab itu skor indeks (persepsi) rasuah Malaysia kekal tidak berubah.
Tak boleh selektif lawan rasuah
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, skor CPI Malaysia tidak berubah kerana kerajaan bersikap selektif dalam memerangi rasuah.
Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal meyakinkan masyarakat global tentang komitmen Malaysia untuk memerangi rasuah, terutamanya selepas laporan Bloomberg mendakwa beliau mengganggu siasatan terhadap seorang bekas pegawainya.
“Perdana menteri nafi dakwaan ini, tetapi dakwaan sebegitu menyemarakkan persepsi rasuah,” kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu.
Wan Ahmad Fayhsal turut menyelar Anwar kerana gagal melaksanakan reformasi institusi yang tulen, walaupun mendapat sokongan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat.