Tangan guru ‘terikat’ laksana pentaksiran bilik darjah, kata ahli pendidikan

Tangan guru ‘terikat’ laksana pentaksiran bilik darjah, kata ahli pendidikan

Mereka berkata guru perlu autonomi lebih besar menilai penguasaan lebih menyeluruh dan perkembangan murid.

Pengerusi PAGE Noor Azimah Abdul Rahim menyatakan tumpuan ‘berisiko tinggi’ terhadap penilaian berasaskan perbandingan menyebabkan kanak-kanak hilang perasaan ingin tahu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Walaupun reformasi pendidikan negara kini memberikan penekanan kepada pembelajaran bermakna dan pembangunan murid secara menyeluruh, pakar berpendapat guru sebenarnya berdepan kekangan dalam cara mereka menilai kemajuan pelajar.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon, berkata berkata guru merasakan autonomi profesional mereka ‘sangat terhad’, memandangkan pentaksiran bilik darjah (PBD) tidak mendapat kepercayaan dan pengiktirafan sewajarnya.

Beliau berkata, sistem sedia ada memberikan penekanan lebih besar kepada prestasi akademik dan kebolehan menjawab peperiksaan, berbanding kefahaman sebenar terhadap kandungan subjek.

“Peperiksaan terus mendominasi keputusan melibatkan pencapaian pelajar.

“Apabila dilaksanakan secara berkesan oleh guru, PBD membolehkan penilaian lebih holistik dan berterusan terhadap penguasaan pelajar, berdasarkan bukti pembelajaran yang tulen dalam bilik darjah,” katanya kepada FMT.

Noor Azimah Abdul Rahim daripada Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), berkata fokus kepada penilaian berdasarkan risiko tinggi, berasaskan perbandingan semata-mata mampu menyebabkan kanak-kanak hilang perasaan ingin tahu.

“Bila terlalu kerap, penilaian sebenarnya mengajar rasa takut: kanak-kanak lebih fokus untuk memberikan jawapan yang betul berbanding meneroka.

“Gred cenderung memihak kepada kanak-kanak yang kuat dalam penguasaan bahasa, ingatan, dan ketika peperiksaan. Pelajar yang berfikir secara visual, kreatif, atau memerlukan masa lebih lama untuk memproses maklumat sering kali tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya,” katanya kepada FMT.

Fouzi berkata, autonomi tidak sepatutnya dianggap sebagai pilihan.

“Ia adalah prasyarat bagi satu sistem pendidikan responsif, yang memberikan tumpuan kepada pertumbuhan sebenar pelajar,” katanya.

Beliau berkata, guru harus diberikan kebebasan mengambil pendekatan berpusatkan murid yang membolehkan pemantauan berterusan, sokongan emosi dan motivasi, serta kerjasama dengan ibu bapa.

Azimah menyeru peralihan daripada ‘penilaian terhadap pembelajaran’ kepada ‘penilaian untuk pembelajaran’, dengan lebih banyak penilaian berisiko rendah dan pelbagai cara untuk murid memenuhi piawaian akademik yang jelas.

“Kita memerlukan penilaian yang menunjukkan bagaimana murid berfikir dan mengaplikasikan pengetahuan, bukan sekadar sama ada mereka boleh menghafal jawapan,” katanya.

Fouzi dan Azimah turut menyatakan bahawa kunci utama mengekalkan piawaian akademik terletak pada usaha memberikan lebih kepercayaan kepada guru.

Mereka juga berkata, terdapat keperluan mengurangkan tekanan peperiksaan dan melaksanakan PBD secara konsisten bagi menilai ketepatan kebolehan sebenar murid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.