
KPM dalam kenyataan, memaklumkan tujuh negeri itu adalah Selangor (103), Perak (8), Pahang (4), Negeri Sembilan (3), Terengganu (1), Kuala Lumpur (1) dan Pulau Pinang (1).
Bagi menangani isu itu katanya, ia akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya bagi membina bilik darjah tambahan untuk aliran perdana dan program pendidikan khas integrasi (PPKI) dengan kos keseluruhan berjumlah RM88 juta.
Menurut kementerian itu, pembinaan bilik darjah baharu terbabit turut dilengkapi kemudahan infrastruktur serta kelengkapan seperti peralatan pengajaran dan perabot.
“KPM sentiasa berusaha menangani isu sekolah padat di seluruh negara dan menyediakan akses pendidikan yang kondusif untuk semua murid, guru dan warga sekolah.
“Ini termasuk menerusi pembinaan bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan kemudahan lain sebagai penyelesaian jangka pendek dan efektif di sekolah yang berkepadatan tinggi.
“Kaedah IBS dan lukisan Pre Approved Plan (PAP) dapat memastikan tempoh pembinaan yang singkat dan siap pada tahun semasa,” kata KPM.
Pada 12 Feb, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata kerajaan meluluskan RM100 juta bagi pembinaan bilik darjah kabin untuk menangani isu sekolah padat.
Sebelum ini wujud rungutan ibu bapa di laman sosial mendakwa jumlah murid darjah satu sehingga 50 orang dalam satu kelas di beberapa sekolah bandar.
Mereka bimbang terlalu ramai murid dalam kelas akan memberi kesan kepada sesi pembelajaran.