
Dalam kenyataan, Presiden Dr Kuljit Singh menyeru kementerian mempertimbangkan semula langkah itu.
Kuljit berkata, jururawat sedia ada berdepan cabaran mendapatkan penghormatan dan pengiktirafan selayaknya.
Katanya, merendahkan syarat kemasukan “mampu mengurangkan lagi status kejururawatan di mata orang ramai”.
Kuljit berkata, penting mempertahan dan meningkatkan kualiti calon serta graduan kejururawatan bagi mengekalkan integriti sistem penjagaan kesihatan Malaysia.
“Kami juga amat percaya mengekalkan kelayakan kemasukan lebih tinggi adalah penting untuk masa depan profesion kejururawatan.
“Kami menggesa kementerian mempertimbang semula perubahan dasar itu demi mengekalkan kualiti, penghormatan, dan pengiktirafan bahawa kejururawatan, sebagai profesion kritikal selayaknya.”
Pada 3 Feb, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengesahkan pekeliling tersebar di media sosial berkait syarat kemasukan bagi diploma kejururawatan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikurangkan daripada lima kredit kepada tiga kredit bertujuan menangani kekurangan jururawat.
Syarat kemasukan dikendurkan itu terpakai bagi kemasukan pelajar 2025 dan 2026.
Kuljit berkata, kerajaan sepatutnya membenarkan pengambilan sementara jururawat asing sehingga graduan tempatan sedia menyertai tenaga kerja.
“Adalah penting untuk memahami rawatan perubatan membawa nilai signifikan dari segi hasil dan kos.
“Asasnya kita tidak berkompromi dengan piawaian diharapkan dalam pendidikan dan amalan kejururawatan,” katanya.
Pada Jumaat, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendesak kerajaan menambah baik terma perkhidmatan dan pekerjaan jururawat, berbanding melonggarkan syarat kemasukan ke program diploma kejururawatan.
Presiden Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata penambahbaikan itu termasuk imbuhan, waktu kerja, peluang pembangunan kerjaya lebih baik.