Tambah subsidi RON95 tanpa mohon mudahkan pemandu e-panggilan

Tambah subsidi RON95 tanpa mohon mudahkan pemandu e-panggilan

Persatuan berkata pekerja e-panggilan tidak terbeban dengan birokrasi tambahan untuk memohon tambahan kelayakan subsidi RON95.

fmt grab app
Mulai 15 Okt pemandu e-panggilan akan menikmati tambahan kelayakan subsidi berbanding 300 liter kini yang tidak perlu dimohon sebaliknya diurus kerajaan dengan syarikat pengendali e-panggilan.
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan mewakili pekerja e-panggilan menghargai usaha kerajaan mengurangkan birokrasi dalam perluas kelayakan subsidi kepada mereka bawah Budi Madani RON95 (BUDI95).

Mulai 15 Okt, kumpulan pekerja gig itu akan menikmati tambahan kelayakan subsidi berbanding 300 liter kini yang tidak perlu dimohon secara individu, sebaliknya diuruskan kerajaan dengan syarikat pengendali e-panggilan (EHO).

Presiden Pertubuhan e-Hailing dan Penghantaran Malaysia (Medo), Masrizal Mahidin, berkata pendekatan permohonan secara berkelompok menerusi EHO dapat memudahkan proses semakan.

“Ia juga membolehkan penyaluran manfaat tanpa membebankan pemandu dengan urusan birokrasi tambahan,” katanya kepada FMT, menyifatkan inisiatif kerajaan Madani pengiktirafan kepada mereka sebagai penghubung sistem mobiliti rakyat dan ekonomi digital negara.

Beliau turut menyifatkannya langkah positif ke arah ekosistem ekonomi gig lebih inklusif dan lestari, selaras semangat Rang Undang-undang Pekerja Gig.

Awal bulan ini, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan kuota tambahan petrol RON95 bersubsidi kepada pemandu e-panggilan sepenuh masa.

Menerusi BUDI95 yang bermula berperingkat sejak 27 Sept, harga RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter, dinikmati semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah dengan pengesahan dibuat menggunakan MyKad.

Namun, Masrizal juga berharap pelaksanaan tambahan kelayakan subsidi RON95 itu menyentuh golongan pemandu separuh masa dan penghantar yang turut berdepan tekanan sama akibat peningkatan kos bahan api dan sara hidup.

“Kriteria ‘sepenuh masa’ wajar diperincikan dengan jelas supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau rasa terpinggir dalam kalangan pekerja platform.

“Medo sedia bekerjasama dengan MoF serta pengendali e-hailing bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini benar-benar berpaksikan kepada keperluan komuniti gig di lapangan, bukan sekadar angka di atas kertas,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pemandu eHailing Utara (NeHDA), Zabidi Bahador, pula menyifatkan langkah itu sebagai usaha meringankan beban kos operasi harian pemandu.

Namun, beliau juga berharap kerajaan dapat menilai semua faktor sampingan dalam menetapkan jumlah subsidi RON95 serta perluasan kepada pemandu separuh masa.

“Walaupun nampak kecil akan tetapi jika dikira secara kos boleh menjadi lebih besar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.