Nahas langgar lari bongkar cubaan edar syabu lebih RM8 juta

Nahas langgar lari bongkar cubaan edar syabu lebih RM8 juta

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata dua lelaki berusia 31 dan 67 tahun ditahan selepas kemalangan membabitkan sebuah MPV dan motosikal.

Yahaya Othman
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata 261 bungkusan teh berisi syabu ditemui dalam MPV dipandu suspek melanggar sebuah motosikal di Jalan Kampung Pagar Sasak, Lipis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cubaan mengedar 275.4kg syabu lebih RM8 juta terbongkar susulan kemalangan langgar lari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan motosikal di Jalan Kampung Pagar Sasak, Lipis, Pahang.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata pemandu MPV melarikan diri selepas kemalangan menyebabkan polis mengejar kenderaan itu sebelum pemandu berusia 67 tahun ditahan pada 12 tengah hari Khamis lalu.

Katanya, 261 bungkusan teh berisi syabu ditemui dalam MPV itu dan polis turut menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 31 tahun yang dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.

Menurutnya, suspek pertama menaiki Toyota Wish dan lelaki kedua menaiki Perodua Myvi berperanan sebagai “tonto”, dengan kedua-duanya dipercayai bergiat aktif sejak awal bulan lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati dua suspek itu menaiki kenderaan berasingan dipercayai dalam perjalanan ke Lembah Klang menggunakan laluan alternatif bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

“Kedua-dua suspek dipercayai menggunakan negeri ini sebagai hub laluan dan transit pengedaran bahan terlarang,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di IPK Pahang.

“Suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran syabu dengan berperanan sebagai ‘transporter’ untuk menghantar bekalan dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran menggunakan kenderaan dipercayai disewa.”

Yahaya berkata, dadah dirampas itu dianggarkan boleh dibekalkan kepada 520,000 penagih dadah dalam tempoh sehari.

“Nilai keseluruhan rampasan mencecah lebih RM8.8 juta dan terbesar di negeri ini dalam tempoh tiga tahun.”

Menurutnya, saringan awal air kencing kedua-dua suspek negatif dadah, tetapi mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, dua suspek itu direman tujuh hari sehingga 13 Feb ini depan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, kemalangan itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal berusia 16 tahun parah.

“Selepas melanggar motosikal tersebut, suspek melarikan diri sebelum dikejar orang ramai. Bagaimanapun, MPV itu tidak boleh bergerak laju selepas salah satu tayarnya pecah, sebelum berjaya dihalang dan ditahan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.