
Sultan Sharafuddin Idris Shah berpandangan cadangan itu dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian, pada ketika rakyat giat mengeratkan amalan muhibah masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan.
Baginda berkata polemik yang tercetus sedikit sebanyak menimbulkan keresahan dalam masyarakat, dan pasti akan menjejaskan keharmonian yang sedia terjalin.
Sultan Sharafuddin berkata Islam menerusi Al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman, diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Justeru, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana baginda percaya umat Islam kini tahu tentang batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan,” katanya dalam kenyataan di Facebook Pejabat Sultan Selangor.
Sultan Sharafuddin mengingatkan bahawa sebagai sebuah negara majmuk, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi. Dalam masa sama, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui Islam agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan.
Baginda juga menasihatkan umat Islam di Selangor agar sentiasa berusaha memperkukuh akidah dan iman dengan mendalami ilmu agama, dan melakukan segala suruhan Allah serta meninggalkan segala larangan-Nya.
“Apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki, serta memantapkan keyakinan kepada Allah, maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar,” katanya.
Jemaah Menteri membincangkan cadangan garis panduan kontroversi itu semalam, susulan persoalan dan teguran daripada pelbagai pihak.
Cadangan garis panduan itu antara lain menyatakan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, contohnya premis digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.
Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.
Jemaah Menteri mengingatkan setiap dasar yang dirangka perlu ambil kira aspek perpaduan nasional, serta mendapatkan kelulusannya terlebih dahulu.
Jemaah Menteri juga bersetuju Jabatan Kemajuan Islam Malaysia boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan membawa hasil mesyuarat Jemaah Menteri kepada pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
MKI dipengerusikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Ditanya pendapat beliau berhubung garis panduan tersebut, Anwar menjawab: “Saya berpendapat tidak perlu kerana orang Islam tahu garis dia.”