Kumpulan pembaharuan gesa pilih wanita sebagai Adun lantikan

Kumpulan pembaharuan gesa pilih wanita sebagai Adun lantikan

Terengganu dan Sabah mempunyai kerusi Adun lantikan, manakala rancangan Pulau Pinang mewujudkan kerusi tambahan bagi wanita sahaja belum dilaksanakan.

sabah n terengganu state assembly
Kerajaan Sabah dan Terengganu masing-masing boleh melantik enam dan empat Adun.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan pembaharuan politik menggesa wanita dilantik sebagai Adun lantikan di Terengganu dan Sabah, serta menyeru Pulau Pinang menerajui usaha menyediakan kerusi tambahan khusus untuk wanita di DUN.

Penyelidik Projek Sama, Wo Chang Xi, berkata perlembagaan negeri di Terengganu dan Sabah membolehkan pelantikan Adun, masing-masing empat di Terengganu dan enam di Sabah.

Katanya, negeri yang tidak mempunyai peruntukan untuk Adun lantikan boleh mengguna pakai model ‘top-up’ dengan menyediakan kerusi tambahan khusus untuk wanita.

Model ‘top-up’, yang dibangunkan bersama oleh Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), menggesa kerusi untuk wanita ditambah, jika komposisi wanita kurang 30% daripada wakil rakyat yang dipilih.

Pada 2021, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata model itu akan dilaksanakan jika kurang daripada 12 wanita dipilih ke DUN negeri itu. Bagaimanapun, kata Wo, undang-undang untuk melaksanakan inisiatif itu masih belum diluluskan.

“Meletakkan wanita dalam kerusi tambahan khas untuk mereka akan membantu meningkatkan penyertaan golongan itu dalam politik, walaupun ia tidak menjamin sasaran 30%,” kata Wo kepada FMT selepas satu forum pada Jumaat.

Projek Sama researcher
Penyelidik Projek Sama Wo Chang Xi (dua kiri) berkata Pulau Pinang perlu menerajui dalam melaksanakan model ‘top-up’ untuk menyediakan kerusi DUN untuk wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng, berkata kekurangan wakil rakyat wanita mungkin berpunca daripada sikap berat sebelah secara tidak sedar.

“Wanita bukan tidak cekap, tetapi mereka sering dilihat secara berbeza,” katanya. Menurut Ong, usaha memperkenalkan model ‘top-up’ masih menjadi cabaran besar kepada kepimpinan negeri ketika ini.

Sementara itu, Pengasas Pergerakan Orang Wanita Empowerment and Revolution, Fazar Arif, berkata keazaman politik daripada kerajaan yang memerintah amat diperlukan untuk memastikan lebih ramai wanita mendapat tempat dalam politik.

“Melaksanakan kuota gender bukan sekadar menetapkan sasaran, ia memerlukan strategi jelas, penguatkuasaan yang kukuh, serta komitmen yang tulen terhadap perubahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.