Lebih 2,000 bekas pengikut GISBH sukarela jalani pemulihan Mais, Jais

Lebih 2,000 bekas pengikut GISBH sukarela jalani pemulihan Mais, Jais

Mereka terdiri daripada 731 orang dewasa dan 1,345 kanak-kanak terkait GISBH.

Abdul Aziz Mohd Yusof
Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof berharap masyarakat dapat menerima bekas pengikut GISBH secara positif selepas mereka tamat program pemulihan selama dua tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 731 orang dewasa dan 1,345 kanak-kanak terkait GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) bersetuju mengikuti program pemulihan kelolaan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Semua individu secara sukarela ingin menyertai Program Insan Rabbani turut didaftarkan sebagai asnaf Riqab.

Pengerusi Mais, Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata program selama dua tahun itu akan bermula 15 Feb ini dalam empat fasa, iaitu pemulihan (enam bulan), pemantapan serta pengukuhan (enam bulan) dan kemudian dipantau menerusi fasa pasca pemulihan, pemantauan serta khidmat sokongan.

Menurutnya, proses pemulihan menggunakan Modul Istitabah untuk peringkat dewasa dan Modul Pendidikan Islam Insani buat kanak-kanak.

“Di peringkat kerajaan negeri dan agensi, kita sangat serius untuk memastikan mereka tidak pulang ke asal (GISBH),” katanya menurut Harian Metro selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Barangan Persekolahan kepada 200 anak-anak GISBH di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam.

“Setakat ini yang berdaftar dengan kita di bahagian Ar Riqab lebih 1,300 kanak-kanak bawah 17 tahun dan 700 lebih individu dewasa.

“Mereka ini akan kita bantu untuk pemulihan dan jika mereka tidak hadir program, mereka tidak akan dapat bantuan. Kita mengharapkan dengan pemberian bantuan ini, lebih ramai individu terkait kumpulan itu tampil secara sukarela.”

Beliau berkata, ahli GISBH boleh membuat pendaftaran di Bahagian Pemulihan Al-Riqab Mais, yang mana ia akan dilaksanakan di dalam atau di luar pusat pemulihan.

Katanya, pemulihan dalam pusat dilaksanakan di pusat perlindungan terpilih, manakala pemulihan di luar pusat akan dilaksanakan di masjid, sekolah atau lokasi sesuai.

“Kita tidak mahu mereka rasa terasing. Justeru harapan kita, apabila mereka tamat program (pemulihan), masyarakat dapat menerima mereka dengan positif.”

Terdahulu, 200 kanak-kanak terkait GISBH menerima bantuan tunai dan kelengkapan persekolahan.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah, berkata semua kanak-kanak itu sudah didaftarkan dan akan menyertai sesi persekolahan akan datang.

“Antara syarat pelepasan anak-anak ini (kepada ibu bapa atau penjaga sah) adalah mereka dimasukkan ke sekolah biasa untuk kita integrasikan dalam masyarakat.

“Saya ambil peluang memesan rakyat di luar, kita perlu dampingi mereka dan layan mereka seperti orang lain, bantu mereka kembali ke masyarakat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.