Perbezaan tafsiran perintah mahkamah punca MTUC celaru, kata bekas pemimpin

Perbezaan tafsiran perintah mahkamah punca MTUC celaru, kata bekas pemimpin

Beliau berkata kebuntuan itu menyebabkan wakil pekerja tidak dilantik ke badan penting termasuk KWSP dan Perkeso.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berada dalam keadaan buntu kerana perintah mahkamah yang dikeluarkan pada Ogos 2023 tidak memperincikan maksud operasi harian, kata seorang bekas pemimpin.
PETALING JAYA:
Perbezaan tafsiran perintah penangguhan sementara yang diberikan Mahkamah Tinggi terhadap pembatalan persidangan tri-tahunan perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyebabkan badan itu dalam keadaan kucar-kacir, menurut seorang bekas pemimpin kesatuan itu.

Pemimpin yang enggan dinamakan itu berkata, kebuntuan selama dua tahun ini menghalang MTUC daripada mencalonkan wakil dalam lembaga badan berkanun yang penting seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Perintah yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Chong Yeow Choy pada Ogos 2023 sementara menunggu keputusan permohonan penangguhan tertakluk kepada beberapa syarat.

Beliau berkata kepimpinan sedia ada hanya dibenarkan menjalankan urusan pentadbiran harian MTUC dan tidak boleh membuat keputusan dasar bagi pihak badan itu. Mahkamah Tinggi Shah Alam juga memerintahkan kesatuan agar tidak mengadakan pemilihan baharu.

Pada Selasa lalu, kumpulan yang diketuai Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, memecat presidennya, Effendy Abdul Ghani, dan melantik Dauzkaply Nor Ghazali sebagai pemangku presiden.

Tindakan ini mencetuskan bantahan daripada Effendy dan penyokongnya, yang mendakwa Kamarul tidak berhak memanggil mesyuarat majlis am bagi memecatnya kerana perkara itu bukan urusan pentadbiran harian.

Mereka juga mendakwa surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) tahun lalu, yang mengesahkan Kamarul bukan lagi setiausaha agung MTUC, masih berkuat kuasa dan belum ditarik balik, menyebabkan jawatannya masih dipertikaikan.

Seorang lagi pemimpin kesatuan yang enggan dinamakan berkata, masalah ini timbul kerana perintah mahkamah tidak memperincikan apa yang dimaksudkan sebagai operasi harian.

“Kumpulan Kamarul mendakwa memanggil mesyuarat majlis am untuk memecat presiden dan melantik pemangku sebagai sebahagian daripada urusan harian, tetapi kumpulan Effendy pula menganggapnya sebagai satu penghinaan terhadap mahkamah kerana ia menyentuh dasar serta hak perlembagaan ahli.

“Effendy berkata ini tidak dianggap sebagai tindakan pentadbiran dan bukan apa yang dimahukan mahkamah ketika mengeluarkan perintah penangguhan bersyarat. Jika kedua-dua pihak terus berpegang kepada tafsiran masing-masing, maka tiada penyelesaian sampai bila-bila,” katanya kepada FMT.

Difahamkan, pihak ketiga yang memperoleh perintah mengisytiharkan pemilihan itu batal dan tidak sah dan kumpulan Effendy sedang berusaha mencapai penghakiman persetujuan pada 25 Feb ini, namun tindakan terbaru Kamarul boleh menggagalkan usaha itu.

Sementara itu, Dauzkaply mempertahankan tindakan Kamarul, dengan berkata memanggil mesyuarat majlis am adalah urusan pentadbiran harian dan bukan satu bentuk penghinaan terhadap mahkamah.

“Majlis am perlu bermesyuarat bagi membuat keputusan untuk memastikan MTUC terus berfungsi. MTUC telah kehilangan wakilnya dalam badan berkanun akibat tindakan Effendy.

“Akaun perlu diuruskan, gaji kakitangan perlu dibayar, dan kami mesti bertindak untuk menempatkan semula wakil kami dalam lembaga berkaitan secepat mungkin,” katanya kepada FMT.

Dauzkaply berkata, tindakan Effendy menutup pejabat sejurus perintah mahkamah dikeluarkan dan mengarahkan kakitangan bekerja dari rumah adalah satu kesilapan, tambahnya tindakan itu melemahkan pusat kesatuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.