
Bekas penyelidik Iksim Harizal Hassan berkata, badan pemikir itu memberikan ‘pendapat’ mengenai buku Yeoh kepada kerajaan pada 2016, sebelum operasinya digantung oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Katanya, defendan dalam saman fitnah Yeoh, Kamarul Zaman Yusoff, yang merupakan felo penyelidik dengan badan pemikir itu, telah mengkaji buku tersebut.
Harizal berkata, ‘pendapat’ yang dikemukakan tidak mencetuskan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.
“Malangnya, tidak (ada tindakan),” katanya menambah, beliau juga tidak membuat laporan polis terhadap Yeoh.
Harizal yang memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pembelaan Kamarul turut mendakwa Iksim pernah mempunyai hubungan kerja yang baik dengan pihak berkuasa.
Yeoh, yang kini menteri belia dan sukan, memfailkan samannya pada 2022 berhubung kandungan dua dokumen yang dikarang oleh Kamarul – artikel bertajuk ‘Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP di Malaysia’ dan laporan polis dibuat Kamarul terhadapnya, yang diterbitkan di Facebook lima tahun sebelum itu.
Beliau mendakwa Kamarul, pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM), menuduhnya ‘menyebar ajaran Kristian menerusi politiknya’, memacu ‘agenda Kristian’ dan berhasrat menjadikan Malaysia ‘negara Kristian’.
Ketika diperiksa balas oleh peguam Yeoh, Sangeet Kaur Deo, Harizal mengakui beliau tidak sedar bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan penerbitan buku itu.
Beliau juga memberitahu mahkamah, beliau tidak bersetuju dengan klasifikasi buku Yeoh oleh Perpustakaan Negara bawah kategori ‘Ahli politik wanita – Malaysia’.
Sangeet: Adakah anda setuju bahawa sepanjang 10 tahun lepas, lelaki Islam menjadi perdana menteri, menteri dalam negeri, dan ketua polis negara, dan (mereka) tidak mempunyai sebarang masalah dengan buku itu?
Harizal: Saya tidak setuju.
Sangeet: Mereka juga boleh ambil tindakan jika mereka lihat ada sebarang ‘ancaman’ daripada buku plaintif (Yeoh)?
Harizal: Ya, tetapi mereka tidak (ambil tindakan).
Buku Yeoh ‘langgar undang-undang’
Harizal menegaskan bahawa buku Yeoh melanggar undang-undang.
Mempertikaikan dakwaan itu, Sangeet menegaskan bahawa Yeoh tidak pernah menyebut apa-apa yang bertentangan dengan Islam dalam bukunya.
“Jika beliau berkata demikian (dalam bukunya), beliau akan dipenjara,” kata Harizal menambah, buku Yeoh lebih daripada kisah peribadi.
“Beliau mahu membawa aspirasi (agamanya) ke dalam politik.”
Sangeet: Tetapi anda tidak pernah buat sebarang laporan polis atau ambil tindakan (undang-undang) (terhadap pihak berkuasa).
Harizal: Saya di sini untuk beri keterangan.
Pihak pembelaan menutup kes hari ini selepas memanggil Harizal ke kandang saksi.
Hakim Aliza Sulaiman menetapkan 30 Mei untuk menyampaikan keputusan mahkamah.