Tiada cadangan rasmi daripada JAC untuk pinda undang-undang pelantikan kehakiman

Tiada cadangan rasmi daripada JAC untuk pinda undang-undang pelantikan kehakiman

Pada 2023, ketua hakim negara mencadangkan untuk meminda perlembagaan bagi menghapuskan penglibatan eksekutif dalam pelantikan hakim.

lawyer
Pada 2018, Majlis Peguam Malaysia menyerahkan kertas kerja kepada kerajaan untuk semakan Akta JAC atas kebimbangan bahawa proses pelantikan hakim tidak bebas daripada pengaruh eksekutif.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) masih belum mengemukakan cadangan rasmi untuk pindaan dibuat kepada Akta JAC 2009, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Azalina mengakui bahawa ada gesaan supaya akta itu dibuat, khususnya mengenai peranan perdana menteri dalam melantik anggota suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara terbabit perlu dikaji terlebih dahulu dengan teliti kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, sebarang cadangan untuk meminda Akta berkenaan akan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

“Setakat ini, JAC, sebuah badan bebas, tidak membuat cadangan rasmi kepada kerajaan berhubung cadangan pindaan Akta tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

JAC terdiri daripada sembilan ahli – empat pentadbir kehakiman tertinggi yang diketuai oleh ketua hakim negara, serta seorang hakim kanan Mahkamah Persekutuan dan empat individu lain, dilantik oleh perdana menteri.

Pada 2022, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertitah perdana menteri tidak patut melantik sesiapa sahaja menganggotai JAC.

Tuanku Muhriz mencadangkan supaya kuasa melantik empat ahli JAC diberikan kepada Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan jawatankuasa Dewan Rakyat.

Pada 2018, Majlis Peguam telah menyerahkan kertas kerja untuk menyemak Akta JAC kepada kerajaan atas kebimbangan bahawa proses pelantikan hakim tidak bebas daripada pengaruh eksekutif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.