
Proton menjelaskan Rashid yang akan melapor terus kepada CEO Li Chunrong kembali ke syarikat itu dengan membawa pengalaman lebih 30 tahun dalam kejuruteraan, pembuatan dan pembangunan produk.
“Sepanjang perkhidmatan di Proton sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan sebagai ketua pegawai teknikal sebelum dilantik sebagai CEO Proton Edar. Antara pencapaian penting ketika itu termasuk pelancaran Proton X70 pada 2018, yang menjadi titik perubahan penting bagi jenama Proton,” menurut syarikat itu dalam kenyataan pada Isnin.
Selepas meninggalkan Proton, Rashid menyertai UMW Holdings Bhd dengan memegang beberapa portfolio utama termasuk mengetuai bahagian aeroangkasa dan menerajui bagi mobiliti, inovasi serta pembangunan industri mampan, sekali lagi membuktikan komitmen beliau dalam memajukan ekosistem automotif Malaysia.
Li berkata pengalaman Rashid dalam industri automotif di samping pengetahuannya mengenai operasi syarikat akan memberi nilai penting dalam menyokong agenda transformasi Proton serta memperkukuh pertumbuhan masa depan.
“Pada masa sama, kami ingin merakamkan penghargaan kepada Ainol Azmil yang telah menjalankan tugas sebagai pemangku timbalan CEO dari 10 Jun hingga 31 Oktober tahun ini,” katanya.
Ainol kembali kepada peranannya sebagai naib presiden, strategi korporat, selain terus menguruskan bahagian perolehan teknikal kumpulan Proton sebagai pengarah kanan.