Tawan pengundi muda atas pagar jika mahu rampas kerusi tier 2, BN diberitahu

Tawan pengundi muda atas pagar jika mahu rampas kerusi tier 2, BN diberitahu

Hisommudin Bakar berkata ramai pengundi atas pagar dari kelompok 18 hingga 20 tahun tidak mengundi BN pada pilihan raya umum lalu.

Sekurang-kurangnya 17 kerusi Parlimen berada dalam kategori tier 2 yang disasarkan dirampas Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Meraih sokongan pengundi atas pagar khususnya dari kelompok 18 hingga 20 tahun dijangka memberi cabaran besar buat Barisan Nasional (BN) dalam menawan kerusi tier 2 pada pilihan raya, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata ini kerana BN menerima penolakan besar-besaran kumpulan anak muda yang membantu Perikatan Nasional (PN) menawan 74 kerusi pada PRU15.

Bagaimanapun, kerusi pembangkang di Dewan Rakyat itu berkurangan kepada 68 susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Walaupun nampak mudah di atas kertas (tawan kerusi tier 2), namun ‘setting’ dalam PRU akan datang sudah tidak sama lagi seperti mana berlaku dalam PRU15.

Hisommudin Bakar
Hisommudin Bakar.

“Sewajarnya BN perlu memberikan tumpuan untuk memulihkan sokongan pada segmen pengundi anak muda 18 hingga 20 tahun yang menyaksikan penolakan besar-besaran terhadap gabungan itu,” kata Hisommudin kepada FMT.

Ahad lalu, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata pihaknya yakin menawan semula kerusi Parlimen dalam kategori tier 2 pada PRU16, merujuk kerusi yang tewas pada PRU15 namun berada pada kedudukan kedua.

Bercakap dalam program audio siar Utama, Zahid berkata BN akan berbincang dengan parti lain dalam kerajaan perpaduan mengenai rundingan kerusi berkenaan.

Hisommudin berkata sekurang-kurangnya ada 17 kerusi Parlimen dalam kategori tier 2 antaranya Perak (Gerik, Bukit Gantang, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Parit, Pasir Salak dan Lumut) dan Pahang (Jerantut, Maran, Kuala Krau, Temerloh, Rompin).

Selangor (Sabak Bernam, Tanjong Karang); Melaka (Masjid Tanah, Jasin), dan Johor (Mersing). Semua kerusi Parlimen ini dimenangi PN.

Kawasan ini kata Hisommudin dijangka lebih memihak kepada Umno pada PRU akan datang kerana kerusi jajaran majoriti Melayu, namun dijangka berlaku ‘sedikit pergeseran’ jika turut dituntut Amanah dan PKR.

Tambah Hisommudin, keyakinan BN untuk merampas kerusi tier 2 juga dijangka berliku di Parlimen negeri pembangkang iaitu Perlis, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

“Walaupun secara hitung mudah penggabungan undi BN dengan PH, masih belum berjaya mengatasi majoriti yang diperolehi oleh PN,” katanya. “Tetapi perkara ini boleh diputuskan di peringkat tertinggi perundingan kerajaan perpaduan.”

Keserasian mudahkan rundingan kerusi BN-PH

Hisommudin dan Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan juga senada keserasian antara pemimpin BN dan PH selama 25 bulan dalam kerajaan perpaduan akan memudahkan rundingan kerusi antara parti komponen menjelang PRU16.

“Saya tidak membayangkan berlaku kerumitan sangat dalam aspek agihan kerusi antara BN dan PH kerana PH lebih tertumpu di kerusi bercampur dan majoriti bukan Melayu,” kata Hisommudin.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

Tambah Azmi: “Hakikatnya pada PRU15, seterunya adalah PH dan jika kerusi tier 2 itu milik Umno/BN maka secara mudah akan jatuh ke tangan BN tanpa perlu berlawan dengan PH.”

Keputusan PRU15 menyaksikan Umno mencatat keputusan terburuk dalam sejarah PRU apabila hanya menang mendapat 26 daripada 30 kerusi dimiliki BN.

Empat Parlimen lagi dimenangi MCA (2), MIC (1), dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) (1).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.