
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata tindakan dilancarkan sejak Sabtu lalu itu diteruskan sebagai usaha mendidik masyarakat menolak budaya fitnah selain merasakan terhina dengan fitnah dilemparkan.
“Kita akan teruskan laporan polis yang bermula sejak Sabtu lalu. Tindakan itu diambil sebab kita rasa terhina dan tidak mahu fitnah terus dilakukan pemimpin PAS.
“Mereka seolah menjadikan fitnah itu satu budaya dalam masyarakat, itu laporan polis dibuat sebab kita kita nak didik masyarakat (tolak budaya fitnah),” katanya kepada FMT.
Faiz mengulas kenyataan seorang peguam A Srimurugan yang membidas tindakan Amanah memfailkan beberapa laporan polis terhadap PAS atas dakwaan fitnah sebagai ‘permainan politik murahan’.
Kata peguam itu, satu aduan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang sudah memadai sebagai laporan maklumat pertama.
Mengulas kenyataan seorang lagi peguam Guok Ngek Seong yang merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa parti politik tidak boleh menyaman individu untuk libel atau fitnah kerana tidak mempunyai ‘reputasi’ yang memerlukan perlindungan, Faiz berkata terpulang kepada polis untuk membuat siasatan.
“Saya juga sebagai peguam, kita tak boleh membiarkan perkara yang melanggar undang-undang berlaku tanpa ada tindakan, apabila fitnah dilakukan, maka perlu ada tindakan dari orang yang kena fitnah.
“Jadi terpulang kepada polis untuk membuat siasatan apakah kesalahan dilakukan dan pendakwaan bergantung kepada Jabatan Peguam Negara, untuk meneliti dan mempertimbang pertuduhan yang sesuai dengan kesalahan dilakukan,” katanya.
Katanya, laporan polis itu dibuat supaya tindakan di bawah kesalahan jenayah boleh diambil terhadap Sanusi kerana Amanah sedar parti politik tak boleh membuat saman sivil.
Bercakap pada majlis Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia anjuran PAS minggu lalu, Sanusi yang juga menteri besar Kedah mendakwa Amanah ‘lahir daripada DAP’.
Menyusuli kenyataan itu, Faiz berkata parti terbabit akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi menggesa siasatan terhadap kenyataan itu, yang didakwa berunsur fitnah.