Balu Daim wakil harta pusaka dalam usaha bantah SPRM beku akaun

Balu Daim wakil harta pusaka dalam usaha bantah SPRM beku akaun

Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata, perkara itu tidak dibantah Jabatan Peguam Negara.

Naimah Khalid Daim Zainuddin
Na’imah Khalid akan menjadi wakil harta pusaka bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dalam usaha keluarga mereka membatalkan pembekuan akaun oleh SPRM.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan Na’imah Khalid, balu Daim Zainuddin, menjadi wakil harta pusakanya dalam usaha mencabar pembekuan akaun bank oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketika membenarkan permohonan Na’imah pada sidang ringkas hari ini, Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menyatakan bahawa Jabatan Peguam Negara tidak membantah perkara itu.

Hayatul juga menetapkan pengurusan kes esok, untuk mahkamah menetapkan tarikh pendengaran bagi permohonan keluarga itu.

Na’imah diwakili Zarifah Zuhayra Zakaria selaku peguam.

Tahun lepas, Daim yang juga bekas menteri kewangan, ahli keluarganya, dan 18 syarikat yang dikaitkan dengan mereka memfailkan permohonan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap tindakan pembekuan akaun bank mereka.

Mereka mendakwa, tindakan itu dibuat dengan niat jahat, dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menggunakan pengaruhnya ke atas SPRM dalam perkara itu.

Keluarga itu sedang berusaha membatalkan perintah pembekuan bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla)

Jabatan Peguam Negara sebelum ini menyatakan ia berhasrat menentang permohonan keluarga Daim.

Daim meninggal dunia pada 13 Nov tahun lepas dan susulan itu, tuduhan terhadapnya kerana gagal mengisytiharkan harta telah ditarik balik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.