Perubahan dijangka dalam kerajaan hanya ‘cereka’, kata Zaid

Perubahan dijangka dalam kerajaan hanya ‘cereka’, kata Zaid

Bekas menteri itu berkata, kerajaan diterajui Melayu mesti mempunyai kadar perwakilan bukan Melayu yang adil.

Zaid Ibrahim-Lawyer-18 160324
Zaid Ibrahim berkata, kerajaan kukuh yang diterajui Melayu mesti terdiri daripada Ahli Parlimen Melayu PAS, Bersatu dan Umno, dan bergantung pada MCA untuk memenangi semula undi Cina.
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri menyangkal ura-ura akan berlaku ‘perubahan besar’ dalam kerajaan, menyifatkan khabar angin yang kini tersebar di media sosial itu sebagai ‘cereka’.

Zaid Ibrahim berkata, pihak yang membuat dakwaan melalui poster memaparkan tiga tokoh pemimpin Melayu itu seolah-olah ghairah ingin melihat ‘perpaduan Melayu menjadi kenyataan’.

“Sedarlah. Takkan ada pertukaran kerajaan dengan Ahli Parlimen berpakat mencapai angka sakti ‘112’,” katanya di X, merujuk jumlah kerusi yang diperlukan untuk mencapai majoriti mudah di Dewan Rakyat, yang terdiri daripada 222 kerusi.

Zaid berkata, untuk membentuk kerajaan kukuh yang diterajui Melayu, Ahli Parlimen Melayu dalam PAS, Bersatu dan Umno harus memenangi 90 kerusi, yang ‘boleh dicapai secara kolektif’.

Katanya, mereka juga mesti memujuk MCA untuk memenangi semula undi Cina, dengan menjadi ‘lebih Cina daripada DAP’.

“Biarlah MCA minta peruntukan (RM)1.5 bilion untuk sekolah Cina, 12 bilion utk PKS (perusahaan kecil dan sederhana), pengurangan 40% penjawat awam Melayu, dan lebih banyak lagi lesen judi.

“Parti Melayu kena belajar kawal diri. Jangan serang MCA, lagipun MCA komponen Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dengan cara ini barulah kerajaan yang diterajui Melayu dengan kadar perwakilan bukan Melayu yang adil boleh dicapai, katanya.

“Ini cara lebih realistik untuk ‘reset’. Lupakan tentang poster itu.”

Poster yang tersebar itu menampilkan Ismail Sabri Yaakob daripada Umno sebagai perdana menteri, dengan pemimpin PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dan Hamzah Zainudin daripada Bersatu sebagai timbalannya.

Poster itu memetik ‘sumber yang boleh dipercayai’ berkata, ‘perubahan besar’ akan berlaku selepas sidang Dewan Rakyat kali ini.

“Melayu Islam bersatu demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” menurut petikan kata pada poster itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.