
Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah berkata keterjaminan makanan menjadi ujian paling getir susulan perang Iran selain mengambil kira kemerosotan teruk padi akibat kemarau, menjadikan pesawah antara golongan paling terkesan.
Katanya, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pada 31 Mac turun padang dan berdialog dengan pengusaha padi daerah Kerian, di Bagan Serai dan menggesa perubahan harga lantai dikira mengikut kos sebenar penanaman.
“Ini antara langkah konkrit yang sepatutnya dilakukan bagi membantu pesawah menghasilkan keterjaminan makanan dalam keadaan kita berhadapan kesan perang Iran.
“Ini pendekatan yang spesifik dan tepat. Memanglah ada kaitannya dengan kenaikan harga minyak akibat perang. Tetapi tujuannya jelas, iaitu keterjaminan makanan dan survival pesawah. Bukannya sekadar mengawal harga minyak tanpa tujuan khusus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam tulisan Merentas Ruang diterbitkan di Sinar Harian.
Kali terakhir harga lantai belian padi diselaraskan pada Feb tahun lalu yang menyaksikannya dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi membantu pesawah menyerap kos operasi serta menambah pendapatan.
Harga runcit diesel semasa di Semenanjung sehingga 8 April ditetapkan RM6.02 seliter.
Pada 1 April, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, memberi jaminan bekalan beras negara cukup sekurang-kurangnya hingga hujung tahun ini, dengan mengingatkan orang ramai tidak melakukan pembelian panik.
Menurut Sinar Harian, beliau menasihatkan orang ramai bertenang dan mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi memastikan bekalan beras dapat bertahan lebih lama.
Katanya, gangguan pasaran tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan bekalan mencukupi berkurangan dalam tempoh singkat.
Dalam pada itu, Saifuddin yang juga bekas menteri luar, berkata Sidang Khas Dewan Rakyat perlu dipanggil bagi membahaskan implikasi perang yang turut menekan kedudukan fiskal negara susulan kenaikan harga minyak global dalam meneruskan subsidi dan bantuan kepada rakyat.