
Ini selepas Badrul, yang dikenali sebagai Chegubard, memohon maaf secara terbuka di hadapan hakim, berikutan beberapa kenyataannya terhadap Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB).
“Alhamdulillah, hari ini terbukti kebenaran mengatasi kebatilan. Fitnah ini telah dijaja oleh Perikatan Nasional (PN) semasa kempen PRN lalu.
“Pelbagai tohmahan serta serangan yang dilempar kepada kerajaan Selangor dan saya sendiri dengan cubaan mengaitkan saya dengan naratif fitnah dibawa mereka,” katanya di Facebook.
Amirudin berkata, sepanjang dakwaan tersebut beliau membuat pelbagai penafian dan mengemukakan bukti bagi menjawab tuduhan berkenaan.
“Terbukti budaya fitnah yang sebati dengan PN ini adalah budaya dangkal. Tolak politik fitnah,” katanya.
Chegubard merupakan ketua Bersatu Port Dickson.
Terdahulu, Chegubard memohon maaf secara terbuka di hadapan hakim dalam kes saman fitnah difailkan anak syarikat MBI itu, susulan kenyataannya terhadap LLSB melibatkan projek Selangor Maritime Gateway.
Menurut LLSB, sebagai sebahagian daripada penyelesaian, Chegubard mengakui tuduhan tersebut tidak berasas dan menyatakan kekesalan terhadap kesan kenyataan serta tuduhan fitnah yang telah menjejaskan reputasi serta menyebabkan tekanan dan kerugian kepada syarikat itu.
LLSB berkata demikian merujuk kepada saman fitnah difailkan pada 8 Ogos 2023 susulan kenyataan dibuat Chegubard dalam beberapa penerbitan dan hantaran di platform media sosial dan dalam talian lain.
Katanya, Chegubard mengambil tanggungjawab penuh atas perkara itu dan juga telah menarik balik semua kenyataan dibuat dan diterbitkan di platform media sosial.