Tak perlu ‘kalut’ isu parti Hamzah sertai PN, kata Wan Fayhsal

Tak perlu ‘kalut’ isu parti Hamzah sertai PN, kata Wan Fayhsal

Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kata masih terlalu awal untuk PN tutup pintu kepada parti baharu yang dikaitkan dengan Hamzah Zainudin.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal percaya Hamzah Zainudin masih mempunyai sokongan akar umbi Bersatu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, percaya masih terlalu awal untuk Perikatan Nasional (PN) menutup pintu kepada parti baharu yang dikaitkan dengan ketua pembangkang, Hamzah Zainudin.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menurutnya, Hamzah masih mempunyai sokongan akar umbi yang besar dalam kalangan bekas pemimpin dan ahli Bersatu.

“Siapa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin atau Bersatu untuk menghalang kemasukan parti Hamzah sebabnya Hamzah ketika ini didokong 150 bekas ketua bahagian Bersatu yang mana setiap satu dibahagian tersebut minimum ada 100 ahli yang akan mengikuti. Itu belum kira kawasan besar yang ada Ahli Parlimen dan Adun.

“Jadi sebenarnya Hamzah akan bawa nilai tambah dalam PN,” katanya kepada FMT, mengulas keputusan Majlis Tertinggi PN tidak menerima penyertaan parti baharu buat masa ini, susulan bantahan Bersatu.

Semalam, media melaporkan hasrat penyokong Hamzah untuk menyertai sebuah parti politik sedia ada dengan rancangan untuk kekal berada dalam PN tidak kesampaian.

Memetik sumber, Berita Harian melaporkan Bersatu membantah keras kerana khuatir parti baharu itu menjadi ‘rumah baharu’ kepada Hamzah dan pengikutnya, seterusnya berupaya menggugat kestabilan dalaman PN.

Mengulas lanjut, Wan Fayhsal berkata semua pihak tidak perlu ‘kalut’ berhubung penerimaan parti baharu Hamzah ke dalam PN kerana PAS memerlukan sebuah parti yang mampu memainkan peranan seperti Umno bagi memperkukuh pengaruh PN di kawasan marginal dan sengit.

Menurutnya, faktor itu penting untuk menembusi kelompok bukan Melayu yang masih sukar menerima PAS, sambil meraih sokongan pengundi Melayu.

“Hamzah akan bawa nilai tambah tersebut jadi awal lagi (untuk buat keputusan muktamad). Tak perlu kita kalut. Tunggu dan lihat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.