Mixue mohon maaf selepas plastik sampah cetus kebimbangan status halal

Mixue mohon maaf selepas plastik sampah cetus kebimbangan status halal

Syarikat itu juga memohon proses sertu dijalankan di cawangan terlibat bagi memastikan kebersihan serta pematuhan penuh standard halal.

Mixue Malaysia berkata plastik sampah itu digunakan semata-mata untuk tujuan pelupusan sisa dan tidak terlibat dalam penyediaan makanan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mixue Malaysia membuat permohonan maaf atas kebimbangan mengenai pematuhan halal di salah sebuah cawangannya susulan penggunaan plastik sampah dengan label meragukan.

Rangkaian aiskrim dan minuman itu menjelaskan, plastik sampah dibeli secara dalam talian, didatangkan dalam bungkusan dengan tulisan yang ‘boleh menimbulkan kekeliruan’.

Ia menegaskan, plastik sampah itu digunakan semata-mata untuk tujuan pelupusan sisa dan tidak terlibat dalam penyediaan makanan.

“Kami mengambil isu ini dengan sangat serius,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Mixue berkata, pihaknya mengambil langkah untuk menangani perkara itu termasuk memohon proses sertu di cawangan terlibat bagi memastikan kebersihan serta pematuhan penuh standard halal.

“Penggunaan plastik sampah yang bermasalah dihentikan, dan prosedur pembelian dikaji semula bagi memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya.

Syarikat itu turut memberi jaminan bahan mentah digunakan dalam produknya diperoleh daripada pembekal memiliki sijil halal serta memenuhi standard yang ketat.

Mixue memohon maaf atas kekeliruan yang timbul dan berterima kasih atas sokongan serta kepercayaan berterusan orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.