Dakwa amal ilmu hitam, Rosmah tuntut ganti rugi RM1 juta

Dakwa amal ilmu hitam, Rosmah tuntut ganti rugi RM1 juta

Tahun lalu Rosmah Mansor mendapat penghakiman ingkar ke atas Ku Muhammad Hilmie Ku Din yang gagal hadir ke mahkamah bagi berdepan saman fitnah.

rosmah
Rosmah Mansor mendapat penghakiman ingkar terhadap Ku Muhammad Hilmie Ku Din berkait hantaran TikTok diterbitkan pada Mac 2023. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rosmah Mansor menuntut ganti rugi RM1 juta daripada pemegang akaun TikTok kerana menjejaskan reputasinya berkait dakwaan mengamalkan ilmu hitam.

Rosmah, isteri bekas perdana menteri, Najib Razak, menuntut jumlah itu dalam afidavit difailkan dalam prosiding taksiran ganti rugi yang perlu dibayar Ku Muhammad Hilmie Ku Din.

Peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, berkata afidavit difailkan di Mahkamah Tinggi tahun lalu telah diserahkan kepada defendan, namun ia tidak dibalas.

Hari ini, Hakim Ahmad Shahrir Salleh menetapkan 27 Mei bagi pendengaran kes.

Hakim juga mengarahkan peguam mewakili Rosmah menghantar hujahan bertulis dua minggu sebelum tarikh pendengaran.

Rosmah, 72, memfailkan saman berkenaan pada 19 Sept 2023.

Dalam saman tersebut, beliau mendakwa defendan telah memuat naik video dalam akaun TikTok enam bulan sebelum itu yang mengandungi kenyataan palsu dan fitnah terhadapnya.

Katanya, kenyataan disangkal itu menuduhnya melakukan perbuatan berdosa dan membabitkan upacara melibatkan syaitan dan bomoh. Mereka juga mendakwanya mengamalkan syirik.

Rosmah berkata, kenyataan itu merosakkan reputasinya sebagai isteri perdana menteri keenam dan pelbagai pertubuhan dinaunginya di Malaysia.

Rosmah turut mendakwa ia mengakibatkan beliau dipandang negatif oleh orang ramai, diejek, dan dihina, selain mencemarkan nama baik sebagai tokoh masyarakat dikenali.

Saman itu menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan.

Pada 28 Mei 2024, Ahmad Shahrir membenarkan Rosmah membuat penghakiman ingkar terhadap Ku Muhammad selepas dia gagal memfailkan kehadiran dan membela diri dalam saman berkenaan.

Hakim juga mengarahkan ganti rugi yang perlu dibayar di bawah penghakiman itu ditentukan mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.