
Peguam Perlembagaan, Bastian Pius Vendargon, berkata cadangan itu bercanggah dengan umur persaraan mandatori 66 tahun bagi hakim Mahkamah Persekutuan yang dinyatakan dalam Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan itu membolehkan Yang di-Pertuan Agong melanjutkan tempoh perkhidmatan hakim yang akan bersara sehingga enam bulan.
Vendargon berkata cadangan Zaid tidak boleh dipertahankan kerana ia melangkaui peranan Agong dan perdana menteri dalam pelantikan hakim.
“Oleh itu, langkah terbabit akan bertentangan dengan perlembagaan dan terbuka kepada cabaran undang-undang di bawah undang-undang awam,” katanya kepada FMT.
Dalam hantaran di X pada Selasa, Zaid menggesa supaya tempoh perkhidmatan Tengku Maimun dilanjutkan, dengan alasan keperluan untuk memelihara kebebasan badan kehakiman dan memastikan hakim dilantik berdasarkan merit.
Zaid juga menyatakan bahawa sembilan bekas presiden Badan Peguam Malaysia baru-baru ini menyatakan kebimbangan terhadap campur tangan kerajaan dalam pelantikan hakim.
Tengku Maimun akan mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada Julai tahun ini.
Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Salim Bashir, berkata perlembagaan memperuntukkan bahawa tempoh hakim hanya boleh dilanjutkan sehingga enam bulan. Kuasa itu terletak pada Agong, tambahnya.
“Progatif meluluskan pelanjutan tempoh jawatan hakim adalah sebaik-baiknya diserahkan kepada kebijaksanaan Agong,” kata Salim, sambil menambah bahawa Parlimen tidak mempunyai peranan dalam proses itu.
Peguam Philip Koh mengakui bahawa tempoh jawatan bekas ketua hakim negara Raus Shariff sebagai hakim tertinggi dilanjutkan selepas dia mencapai umur persaraan mandatori, tetapi berkata tindakan itu dikritik secara meluas oleh pengamal undang-undang pada masa itu.
“Walaupun perlembagaan tidak secara jelas melarang lanjutan melalui kontrak selepas umur persaraan wajib, ia bukanlah syarat yang dibayangkan oleh (penggubal) perlembagaan,” katanya.
Koh, profesor adjung di Universiti Malaya, berkata sebarang perbincangan mengenai cadangan pelanjutan tempoh jawatan hakim harus memberi tumpuan kepada implikasi yang lebih luas terhadap institusi kehakiman, bukan personaliti yang terlibat atau pilihan politik.
Bekas ketua hakim negara Raus Shariff sepatutnya bersara pada 3 Ogos 2017, tetapi tempoh perkhidmatannya sebagai hakim tertinggi dilanjutkan selama tiga tahun. Bagaimanapun, beliau meletak jawatan pada 31 Julai 2018 selepas tempoh lanjutannya dari segi perlembagaan dipersoalkan.