Suspek buat ancaman terhadap Harith, keluarga ditahan

Suspek buat ancaman terhadap Harith, keluarga ditahan

Seorang lelaki berusia 31 tahun direman bagi membantu siasatan.

Harith Iskander
Bekas isteri kepada pelawak, Harith Iskander, dedah beliau terima ancaman bunuh dan mesej-mesej kesat yang disasarkan terhadap anak-anak mereka. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki disyaki membuat ancaman terhadap pelawak, Harith Iskander, dan keluarganya telah ditahan polis.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilapor berkata berkata suspek berusia 31 tahun itu direman bermula hari ini hingga 28 Jan.

“Polis turut merampas telefon bimbit suspek bagi membantu siasatan,” katanya lapor Harian Metro.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK), menurut laporan itu.

Seksyen 506 KK menyentuh kesalahan menakutkan secara jenayah, manakala 509 KK pula mengenai perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang.

Penahanan ini menyusuli laporan polis oleh pengurus Harith, kelmarin.

Terdahulu, bekas isteri Harith, Dr Jezamine Lim, mendedahkan bahawa beliau terima ancaman bunuh dan mesej-mesej kesat yang disasarkan terhadap anak-anak mereka.

Ancaman dan mesej-mesej kesat itu membawa kepada pembatalan program komediri Harith di Dewan Filharmonik Petronas, yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Dewan Filharmonik Petronas mengumumkan pembatalan ‘DFP Punchline: Harith Iskander 35 Years Of Laughter’, semalam, tanpa menyatakan alasan.

Sementara itu, polis memaklumkan kenyataan Harith berhubung catatan isu ‘ham’ telah dirakam.

Catatan tersebut di sebalik kontroversi sandwic ‘ham & cheese’ didakwa tidak mempunyai perakuan halal dengan produk itu dijual kedai serbaneka di Universiti Malaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.