
Najib mula memberi keterangannya pada 2 Dis tahun lepas.
Selama 16 hari, beliau melalui pemeriksaan utama dan menjawab pemeriksaan semula. Beliau juga melalui pemeriksaan balas selama 10 hari oleh pihak pendakwaan.
Pagi tadi, peguam utama Shafee Abdullah memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pembelaan berhasrat memanggil 25 saksi.
“Saya ingatkan anda maklumkan 20 sebelum ini,” kata Sequerah.
Shafee berkata pihak pembelaan bercadang memanggil beberapa peguam untuk memberi keterangan.
Turut dalam senarai saksi pembelaan ialah beberapa individu, termasuk bekas pengarah 1MDB, yang mengiringi Najib ke pertemuan dengan mendiang pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah, pada 2010, yang penting dalam keterangannya.
Terdahulu, Najib memberitahu mahkamah beliau menganggap dirinya tidak cukup berpengalaman dalam sektor korporat, hanya bekerja selama dua tahun dalam bidang itu sebelum beralih kepada kerjaya dalam politik.
Beliau juga menegaskan bahawa terdapat ‘sisi positif’ mengenai 1MDB, ‘di sebalik publisiti yang negatif’.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Pada 30 Okt, Sequerah memerintahkan beliau membela diri terhadap pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie.
Perbicaraan akan disambung semula pada 10 Feb.