
Dakwa Lau, ketika ini tiada lagi kedengaran suara gabungan itu yang dilihat tidak agresif berbanding ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum PRU14 berlangsung 2018.
Menurutnya, kali terakhir beliau melihat Bersih bersuara ketika kempen PRK Kuala Kubu Baharu tahun lalu apabila seorang menteri mengumumkan peruntukan ke kawasan pilihan raya yang dianggap sebagai satu kesalahan dalam berkempen.
Dakwanya, bagaimanapun selepas itu Bersih tidak lagi bersuara seolah-olah tiada lagi isu hendak diperjuangkan.
“Jika BN masih lagi menjadi kerajaan, Bersih (mesti) sudah keluarlah (berhimpun), tak payah cakap pun sudah keluar…tapi mana mereka (kini).
“Tapi saya boleh kata Bersih (kini) hilang arah tuju, tak ada pandangan jelas macam dulu… kita tak nampak Bersih lagi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Gerakan.
Ditanya, sama ada Bersih perlu kembali kepada peranan asal penubuhannya, Lau berkata tindakan itu sangat perlu dan wajar.
“Mestilah, itu adalah misi Bersih.
“Mengapa Bersih ditubuhkan kerana nak ada satu pilihan raya yang adil, saksama dan bersih,” katanya.
Untuk rekod, Bersih pada November lalu menilai kerajaan perpaduan dengan gred ‘D’ mengambil kira prestasi sejak dua tahun pembentukannya pada Disember 2022.
Pengerusi Faisal Abdul Aziz berkata gred diterima kerajaan perpaduan mencerminkan kemajuan terhad melaksanakan reformasi, serta jurang antara retorik dan tindakan.
Menurut Bersih, ketiadaan reformasi yang ketara di bawah pentadbiran Anwar sesuatu yang membingungkan, memandangkan kerajaan perpaduan menikmati sokongan yang kuat di Parlimen.
Ia berbanding ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob dan Dr Mahathir Mohamad, yang melakukan lebih banyak reformasi dalam tempoh dua tahun pertama.
Anwar mengambil sikap positif berhubung penilaian gred ‘D’ oleh Bersih sambil menyifatkan pentadbirannya sangat baharu menerajui Putrajaya.
Anwar berkata, tidak mustahil dalam tempoh beberapa tahun lagi penilaian itu boleh naik kepada gred ‘A’.