
Pemangku Ketua Polis Perak, DZulkafli Sariaat, berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan pada 11.20 pagi bersama Perodua Bezza dinaikinya ketika menunggu pelanggan.
Katanya, pemeriksaan polis menemukan 44 bungkus plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin dianggar seberat 19.246 kg dalam kenderaan suspek.
“Dadah dirampas dianggar bernilai RM220,000 manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod kesalahan lampau kes dadah dan jenayah,” katanya pada sidang media di IPK Perak hari ini, menurut Berita Harian.
Menurutnya, suspek dipercayai mula aktif mengedar dadah sejak Oktober tahun lalu.
Katanya, dadah yang dirampas disyaki untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan oleh 40,000 penagih.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek direman enam hari sehingga 27 Januari ini bagi membantu siasatan,” katanya.